suria

Pingat Perak Tutup Tirai Acara Olah Raga Sukan Para Asia

GUANGZHOU: Skuad olah raga paralimpik negara berjaya menyumbang satu lagi pingat perak pada hari keenam Sukan Para Asia menerusi acara lari berganti 4x100 meter lelaki kategori T35-38 yang berlangsung di Stadium Utama Aoti, Sabtu.

Perak ketiga negara itu diperoleh menerusi gandingan Mohd Raduan Emeari kategori kecacatan F36/T37, Krishna Kumar a/l Hari Das (T38), Muhammad Hafiz Abu Bakar (F37) dan Amir Firdauss Jamaluddin (F38/T38) dengan catatan masa 52.56s.

Pingat emas dimenangi atlet China yang dibarisi Che Mian (T36), Zhou Wenjun (T38), Yang Chen (T38) dan Ma Yuxi (F37/T37) dengan catatan masa 46.25s.

Tempat ketiga milik Iran setelah pelarinya, Hassan Al Anbaky (T37/F37), Ammar Al Swaiedi (F37/T37), Mahmood Al saadi (T36) dan Younus Abdul Hussein (T37/T36) menamatkan perlumbaan dengan catatan 54.05s. Mohd Raduan, 28, berkata beliau dan rakan sepasukannya gembira kerana dapat menyumbang pingat terakhir bagi sukan olah raga.

"Walaupun agak kecewa kerana gagal memperoleh pingat emas, saya tetap berpuas hati dengan kejayaan hari ini," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Sementara itu, jurulatih skuad olah raga paralimpik negara Adnan Mat Ali berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian keempat-empat anak didiknya kerana ini merupakan kali pertama Malaysia memperoleh pingat perak menerusi acara tersebut.

"Saya sedikit terkilan apabila gagal mencapai sasaran pingat emas, namun saya tahu bahawa mereka telah melakukan persembahan yang terbaik hari ini," katanya.

Skuad olah raga paralimpik negara telah berjaya menonjolkan pencapaian cemerlang di temasya kedua sukan Orang Kelainan Upaya (OKU) itu dengan kutipan pingat satu emas, tiga perak dan enam gangsa.

Pingat emas negara sebelum ini disumbangkan Mohd Hisham Khaironi menerusi acara 200 meter lelaki kategori T12, dengan catatan masa 23.75s pada hari ketiga kejohanan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Daniel Bego Rangkul Dua Emas

Artikel Lain