suria

Hafiz Tak Sepatutnya Kalah

NEW DELHI: Selepas lapan tahun, Muhammad Hafiz Hashim masih gagal mengulangi kejayaannya sebagai juara badminton perseorangan Sukan Komanwel 2002 di Manchester, England.

Malah, kejayaan gemilang yang terbaru pun dicapainya tujuh tahun lalu iaitu sebagai juara All England 2003.

Pada Isnin, beliau kandas di peringkat suku akhir selepas ditewaskan oleh Kashyap Parupalli dari India pada temasya Sukan Komanwel ke-19 di sini.

Pilihan keempat itu menang 21-19 set pertama dan kalah 19-21 pada set kedua selepas Kashyap menunjukkan kemahirannya bermain di jaring.

Bagaimanapun pada set penentuan, Hafiz cuba bangkit namun kalah 16-21.

Pengurus pasukan badminton Malaysia Datuk Maijol Mahap berkata Hafiz tidak sepatutnya tewas kerana corak permainannya lebih bagus daripada pemain tuan rumah itu.

Namun beliau banyak melakukan kesilapan mudah seperti menghantar bulu tangkis ke jaring atau ke luar gelanggang pada set penentuan.

Maijol berkata Malaysia mengharapkan agar Hafiz dan Datuk Lee Chong Wei dapat berentap sesama sendiri pada separuh akhir.

"Namun, impian itu tidak menjadi kenyataan," katanya.

Maijol berkata Malaysia masih mampu menambah satu lagi pingat emas menerusi badminton selepas melakukannya dalam acara berpasukan Jumaat lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain