suria

Kesemua Pemain Malaysia Mara Ke Suku Akhir Kecuali Lydia Cheah

NEW DELHI: Kesemua pemain Malaysia layak ke peringkat suku akhir acara perseorangan badminton kecuali pemain wanita Lydia Cheah pada temasya Sukan Komanwel di sini Ahad.

Lydia mengalami kejutan di tangan pemain Scotland Susan Egelstaff 14-21, 19-21 di Kompleks Sukan Sri Fort di sini.

Bagaimanapun, Lydia berganding dengan Goh Liu Ying untuk menewaskan Juliette Chantal Ah-Wan/Alisen Yutrina Therese Camille dari Seychelles 21-16, 21-9 dalam acara beregu wanita.

Mereka akan menentang pasangan Scotland, Imogen Bankier/Emma Mason pada pusingan seterusnya.

Satu lagi beregu wanita negara, Chin Ee Hui/Woon Khe Wei mengalahkan gandingan Uganda, Gloria Catherine Najjuka/Daisy Nakalyango 21-6, 21-8 untuk berdepan dengan beregu tuan rumah India, Jwala Gutta/Ashwini Ponnappa Machinmanda.

Sementara itu, dalam perseorangan wanita, pemain utama negara Wong Mew Choo dengan mudah menewaskan pemain Mauritius Karen Foo Kune 21-7, 21-3 sebelum menentang Carrisa Turner dari Wales pada saingan suku akhir, Isnin.

Dalam acara perseorangan lelaki, pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, yang mudah mengalahkan Alex Pang dari Kanada, 21-11, 21-10, akan bertemu Juma Muwowo dari Zambia di peringkat suku akhir.

Muhd Hafiz Hashim menundukkan pemain Kanada David Snider 21-12, 21-13 untuk berdepan dengan K. Karunathilaka dari Sri Lanka.

Dalam acara beregu campuran, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying menewaskan Charles Conran Saunders Pyne/Christine Denise Leyow-Mayne dari Jamaica 21-12, 21-14.

Mereka akan menentang James Phillips/Caroline Harvey dari Wales pada perlawanan seterusnya.

Satu lagi beregu campuran negara, Koo Kien Keat/Chin Ee Hui akan bertemu Toby Ng/Grace Gao dari Kanada selepas menewaskan Kieran Merrilees/Kirsty Gilmour dari Scotland 21-7, 21-14. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Aksi Atlet Malaysia Hari Ini

Artikel Lain