suria

Varsity Boat Race Janjikan Saingan Dari Eropah

KUALA LUMPUR: Saingan Varsity Boat Race 2010 bakal dihangatkan lagi dengan kehadiran salah satu pasukan rowing universiti terbaik di Eropah iaitu pasukan dari University of Nottingham, England.

Perlumbaan bakal berlangsung pada 4 hingga 10 Oktober ini di Kompleks Sukan Air Precint 6, Putrajaya.

Penolong Pengarah Pusat Sukan, University of Nottingham yang juga Pengarah Rowing Universiti Eropah, Nigel Mayglothling amat teruja untuk menyertai kejohanan ini.

Nigel juga mengesahkan seramai lapan pendayung lelaki dan seorang pendayung wanita akan hadir diiringi seorang jurulatih, Raymond Sims yang pada 2 Oktober ini.

Mereka dijangka akan menyertai acara Rowing Lelaki Lapan sepasukan dan Kayak Individu Wanita.

Selain itu, jemputan juga turut dibuat kepada pasukan dari University of Oxford dan University Of Cambridge namun keduanya tidak dapat hadir disebabkan faktor jadual pengajian.

Menurut Pengarah Unit Sukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Abdul Malik Abdul Ghani berkata, kehadiran pasukan dari Eropah ini adalah suatu yang baik untuk pendayung kita bersaing dan menimba ilmu dengan pendayung yang lebih berpengalaman.

“Untuk kita ke sana bersaing memerlukan kos yang tinggi namun dengan membawa pasukan terbaik ini ke Malaysia lebih ramai yang boleh mempelajari sesuatu dari mereka” ujarnya.

Varsity Boat Race mula diperkenalkan pada tahun 2006 dengan nama Kejohanan Mendayung Universiti.

Bermula tahun 2008 dan 2009 kejohanan ini dinamakan Varsity Boat Race dengan membuka penyertaan yang lebih luas terutama kepada universiti dari negara Asean.

Kejohanan dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) manakala UTM sebagai penganjur bersama yang bertindak mengelola sepenuhnya kejohanan tahunan ini.

Seramai 850 peserta dijangka menyertai kejohanan yang turut mendapat kerjasama Majlis Sukan Universiti (MSU), MASUM, Persatuan Mendayung Malaysia (PERDAMA), Persatuan Kenu Malaysia (MASCA), Perbadanan Putrajaya dan disokong Majlis Sukan Universiti ASEAN.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin dijangka akan menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah.

Artikel Sebelum

Zulfahmi Mahu Pungut Mata Di Jepun

Artikel Berikut

Artikel Lain