suria

Fahmi Kekal Rentak Terbaik Di Grand Prix Jerman

Tunggangan Zulfahmi semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Tunggangan Zulfahmi semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Tunggangan Zulfahmi semakin meningkat dari semasa ke semasa.

WALAUPUN program wildcard Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) akan diteruskan, rakyat Malaysia mungkin tidak berpeluang menyaksikan pelumba kedua negara bersaing di sisi pelumba 125cc, Muhammad Zulfahmi Khairuddin pada MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Oktober ini.

"Tiada persoalan mengenai sama ada kami akan meneruskan program itu. Masalah kami pada tahun ini adalah kerana tiada jentera yang sedia ada sama ada untuk disewa atau dibeli bagi program itu," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Razlan Razali.

Razlan berkata, usaha untuk mendapatkan jentera GP125cc kepada pelumba wildcard ternyata sia-sia kerana rancangan penanjur untuk menghentikan kejuaraan GP125cc.

"Umum mengetahui bahawa Dorna mahu menggantikan GP125cc dengan 450cc pada masa hadapan. Ada pihak mengatakan ia akan berlaku tahun depan dan ada segelintir pihak lagi memberitahu ia akan berlaku pada 2012. Jadi, tiada pasukan yang memiliki jentera tambahan bersama mereka. Tiada jentera 125cc yang sedia ada untuk kami beli atau sewa," kata Ron dari Two Wheels Motor Racing (TWRR) yang diberi kepercayaan untuk menganjurkan program wildcard itu, tahun ini.

Ron memberitahu TWMR hanya memiliki jentera Yamaha GP125cc yang digunakan oleh pelumba Indonesia, Doni Tata Pridata dan kemudian Zulfahmi pada GP Malaysia tahun lalu.

Namun Ron tidak mahu pelumba negara bersaing dalam GP Malaysia hanya sekadar untuk mengambil bahagian dan mendapat pendedahan.

"Ia tidak masuk akal membiarkan pelumba kita beraksi dengan jentera lama. Zulfahmi berjaya membuktikan bahawa kita ada bakat untuk bersaing dengan pelumba terbaik dunia. Namun kita memerlukan jentera yang setanding dengan pelumba lain," jelasnya yang menyaksikan Zulfahmi berlumba menerusi siaran langsung dalam Grand Prix Jerman di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Di litar yang penuh mencabar dan licin, pelumba pasukan AirAsia Litar SIC itu meneruskan rentak cemerlang untuk mengumpul mata keduanya selepas mencipta kejutan di Grand Prix Catalunya.

Perlumbaan yang bermula dengan keadaan litar yang licin menyaksikan Zulfahmi melakukan pecutan untuk menduduki tempat ke-11 pada penghujung lap pertama sebelum menamatkan saingan di tempat ke-15.

Pelumba Sepanyol, Marc Marques dinobatkan selaku juara dan menjadikannya sebagai calon pilihan untuk meraih gelaran juara dunia pada musim ini.

"Saya amat gembira untuk Zulfahmi kerana dia mengumpul mata pada kejuaraan dunia keduanya. Namun saya lebih gembira melihatnya melayakkan diri di tempat ke-20. Setiap litar adalah litar baru dan apa jua perlumbaan adalah proses pembelajaran buatnya. Kini jelas, dia cepat belajar dan menyesuaikan diri dengan kejohanan itu," jelas Razlan.

Kata Ron, Zulfahmi yang pernah beraksi dalam kelas Novice pada Kejuaraan Cub Prix PETRONAS Malaysia tahun lalu membuktikan Malaysia mempunyai bakat untuk bersaing dalam GP dunia.

"Kami tahu terdapat pelumba lebih baik dan pantas berbanding Zulfahmi. Kami mempunyai bakat di sini untuk beraksi di GP dunia," tambah Ron.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Sdn Bhd, Datuk Seri Tony Fernandes memuji pencapaian Zulfahmi dan menyifatkan ia sebagai menakjubkan.

"Kami amat berbangga dengannya sekali lagi. Dia semakin meningkat dalam setiap perlumbaan tetapi masih ada beberapa perlumbaan yang perlu diharungi musim ini. Setiap trek adalah baru untuknya, jadi dia tidak boleh hilang fokus. Saingan di Malaysia semakin hampir dan tidak dinafikan dia akan menerima tekanan daripada orang awam dan media negara ini. Kami sentiasa menyokongnya. Fahmi harus teruskan prestasi terbaiknya," ujar Tony.

Artikel Lain