suria

Tahap Pulih Pandelela Diketahui Rabu Depan

KUALA LUMPUR: Tahap pemulihan kecederaan penerjun negara, Pandelela Rinong yang mengalami keretakan tulang jari kaki, akan diketahui selepas pemeriksaan x-ray kali kedua pada 7 Julai ini.

Pandelela berkata sekiranya pemeriksaan pada Rabu depan itu menunjukkan kecederaannya telah pulih, beliau akan kembali menyambung latihan.

"Sekarang ini saya masih meneruskan latihan ringan di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil, tetapi program latihan saya tidak melibatkan penggunaan kaki," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Pandelela mengalami keretakan pada tulang jari kakinya selepas terlanggar kaki kerusi di kediamannya dua minggu lepas.

Ekoran itu Pandelela tidak dapat diturunkan pada Kejohanan Terbuka Sepanyol yang berlangsung dari 16 hingga 18 Julai ini, manakala gandingan asal beliau, Leong Mun Yee akan beraksi bersama pasangan baru Traisy Vivien Tukiet.

Walaupun kecewa kerana tidak dapat menyertai kejohanan itu, Pandelela berkata beliau kini menumpukan perhatian kepada persediaan menghadapi temasya Olimpik Remaja 2010 di Singapura pada bulan depan.

"Rasa kecewa juga kerana persediaan untuk Kejohanan Terbuka Sepanyol telah dilakukan sejak sebulan yang lalu," katanya.

Artikel Sebelum

Van Persie Dibawa Ke Hospital

Artikel Berikut

Artikel Lain