suria

Sukma: Terengganu Kuasai Acara Berbasikal 40km Ujian Masa Lelaki

MELAKA: Terengganu menguasai acara berbasikal 40km ujian masa individu lelaki Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 apabila pelumbanya menguasai dua tempat teratas dalam perlumbaan hari kedua yang bermula di Taman Bandaraya Bukit Serindit di sini hari ini.

Pelumba Terengganu, Muhamad Adiq Husainie Othman yang juga pelumba kebangsaan berlatih di Melbourne, Australia, mencatat masa 49 minit 11 saat, mengatasi catatan masa 52 minit 13 saat yang dibuat beliau pada Sukma ke-12 di Terengganu dua tahun lepas, sekali gus berjaya mempertahankan pingat emas.

Pelumba sepasukan Mohamad Saufi Mat Senan muncul pemenang pingat perak dengan catatan masa 51 minit 9 saat, diikuti pelumba Pahang Mohd Hafiz Rosli yang meraih gangsa dengan catatan masa 51 minit 56 saat.

Ketika ditemui pemberita, Muhamad Adiq Husainie yang mengikat kontrak bersama pasukan profesional Drapac Porsche dari Australia, berkata kerja keras dalam sesi latihan dan pengalaman bertanding dengan pelumba profesional di peringkat Asia dan Eropah membantu beliau beraksi cemerlang.

"Saya akan cuba mendapatkan dua lagi pingat emas untuk Terengganu dalam acara jalan raya perseorangan dan berpasukan esok," katanya.

Pelumbaan yang disertai 29 pelumba itu melalui jejambat Semabok, Persimpangan Bukit Katil, Persimpangan Bemban di sepanjang lebuhraya Alor Gajah-Melaka-Jasin di sini, membuat pusingan U sebelum persimpangan Jasin-Merlimau dan kemudian balik semula ke Taman Bandaraya Bukit Serindit.

Sementara itu, pelumba Kedah Masziyaton Mohd Radzi merangkul pingat emas dalam acara 30km ujian masa individu wanita dengan catatan masa 41 minit 58 saat.

Masziyaton, yang juga pelumba kebangsaan, berjaya menewaskan pelumba Selangor, Nurul Ahmar Badeuzzaman (perak/43 minit 14 saat) dan Nazimatul Husna Abu Bakar yang juga pelumba Kedah (gangsa/43 minit 42 saat). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain