suria

Semangat Berpasukan Kunci Kejayaan: Jalani Sidek

KUALA LUMPUR: Semangat berpasukan yang diberikan oleh setiap pemain adalah merupakan kunci kejayaan kepada skuad badminton negara untuk menjulang Piala Thomas pada tahun 1992, kata bekas jaguh beregu negara, Jalani Sidek.

Beliau berkata semangat tersebut perlu ada dalam setiap diri pemain negara yang akan memulakan saingan di Stadium Putra pada Ahad ini.

"Saya cadangkan pemain kita banyak merancang strategi permainan secara bersama dengan cara perbincangan secara berpasukan.

"Semua pemain perlu terlibat sama agar mereka dapat mengetahui apa yang perlu dan tidak perlu mereka lakukan dalam menghadapi keadaan yang berbeza-beza ketika berada dalam pertarungan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau juga mencadangkan hanya pemain utama sahaja diturunkan pada setiap perlawanan, manakala pemain simpanan hanya digunakan jika berlaku keadaan yang memerlukan sahaja agar ianya nanti tidak menjejaskan tumpuan barisan pemain utama.

Jalani melahirkan rasa dukacita apabila pemain negara seolah tidak mendapat keistimewaan sebagai tuan rumah kerana hanya diberi masa tiga hari untuk berlatih di Stadium Putra.

"Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana saya masih ingat lagi dulu kami diberi masa sebulan untuk berlatih di stadium negara," katanya.

Beliau berkata semua pemain termasuk perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei masih mencari-cari rentak untuk menyesuaikan diri dengan gelanggang kerana bukan mudah untuk bermain di stadium yang besar.

"Namun saya harap mereka mampu menyesuaikan diri dalam jangka masa singkat ini," katanya.

Jalani dan abangnya Razif merupakan gandingan beregu dalam skuad Malaysia yang kali terakhir menjulang Piala Thomas di Stadium Negara di sini pada 1992.

Sementara itu nasihat daripada bekas jaguh perseorangan negara, Foo Kok Keong yang turut bermain pada 1992 ialah agar semua pemain dalam skuad negara mula membina keteguhan dalaman masing-masing agar tidak mudah layu apabila berhadapan dengan pihak lawan.

"Kita mempunyai barisan pemain handalan namun mereka perlu mempunyai kekuatan dalaman yang tinggi jika ingin menang dalam kejohanan ini," katanya.

Kok Keong berkata selain daripada kekuatan fizikal, keyakinan dan kekuatan dalam juga diperlukan untuk menang.

Menceritakan pengalaman beliau ketika berdepan dengan pemain Indonesia, Alan Budi Kusuma pada perlawanan pusingan Kejohanan Piala Thomos edisi 1992, Kok Keong berkata pada mulanya beliau rasa tertekan apabila ketinggalan pada set pertama.

Namun beliau kembali bangkit setelah memperolehi keyakinan walaupun tertekan pada mulanya apabila lawanya menguasai set pertama perlawanan.

"Ketika hadapi saat gentir saya berkata pada diri sendiri....ini lah satu-satunya peluang untuk menjadi juara dan saya perlu mengunakan peluang ini jika ingin menang dengan cara menghadapi lawan," kata beliau yang berjaya menewaskan Alan Budi Kusuma 3-2.

Artikel Berikut

Artikel Lain