suria

Hafiz Sihat, Cuma Keletihan Akibat Latihan Keras - Hendrawan

KUALA LUMPUR: Ketiadaan pemain perseorangan ketiga skuad Piala Thomas negara Mohd Hafiz Hashim pada sesi latihan sebelah petang di Stadium Putra, Bukit Jalil, menimbulkan tanda tanya sama ada pemain itu kini dikuarantin akibat jangkitan Influenza A (H1N1).

Namun jurulatih perseorangan lelaki Malaysia Hendrawan pantas menyatakan Mohd Hafiz diberikan pelepasan bagi sesi latihan petang selepas menjalani latihan luar yang keras, pada sesi pagi.

"Dia kini berehat. Dia tidak demam. Cuma sedikit keletihan selepas menjalani sesi latihan luar yang berat pada sebelah pagi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kecuali juara All England 2003 itu, kesemua pemain skuad Piala Thomas dan Uber negara menjalani latihan selama tiga jam petang ini, bermula pukul 5 petang, bagi membiasakan diri dengan keadaan di Stadium Putra, venue bagi kejohanan tersebut yang akan bermula Ahad ini.

Skuad Piala Thomas Malaysia dibarisi oleh Datuk Lee Chong Wei, Wong Choong Hann, Mohd Hafiz dan Tan Chun Seang serta pemain beregu Koo Kien Keat/Tan Boon Heong, Mohd Zakry Abdul Latif/Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari dan Hoon Tien How/Ong Soon Hock.

Mengenai ketiadaan ketua jurulatih perseorangan Rashid Sidek yang disahkan positif H1N1 serta abangnya Misbun yang turut dikuarantin selepas tiga anaknya mengalami demam panas, Hendrawan berkata tidak banyak bimbingan yang perlu diberikan kepada skuad lelaki.

"Saya dan Tey Seu Bock mengendalikan latihan ketika ketiadaan dua jurulatih tersebut. Pemain berada dalam keadaan baik.

"Cuma saya harap Rashid dan Misbun akan kembali segera terutama ketika perlawanan menentang Jepun pada Selasa.

Pada perlawanan pembukaan Kumpulan B menentang Nigeria pada Ahad ini, saya tidak menjangka sebarang masalah kerana negara tersebut bukan lawan yang kuat," katanya.

Dan berita baik buat kem Malaysia apabila Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abd Aziz mengesahkan kedua-dua jurulatih tersebut akan kembali bertugas esok selepas disahkan sihat dan tamat tempoh kuarantin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain