suria

Tumpu Kepada Perlawanan Akhir - Pengurus Kedah

ALOR SETAR: Para pemain Kedah diminta supaya melupakan segala masalah mereka buat sementara waktu, sebaliknya perlu menumpukan perhatian ke arah perlawanan akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan sabtu ini.

Negeri Sembilan bukan merupakan pasukan kebal yang tidak boleh ditewaskan walaupun Kedah pernah kecundang 0-1 kepada Negeri Sembilan di perlawanan Liga Super sebelum ini, kata Pengurus Kedah, Datuk Khazali Din.

"Tiada lagi kompromi. Saya mahu mereka mengenepikan sementara segala masalah peribadi atau apa sahaja supaya tumpuan sepenuhnya dapat diberikan menjelang perlawanan akhir nanti," kata.

Beliau mahu pemainnya mengambil iktibar tewas kepada Negeri Sembilan di Liga Super.

"Pasukan saya sudah bersedia dan saya yakin mereka tidak akan mengulangi kesilapan sama yang menyebabkan kekalahan tersebut," kata Khazali.

Kemenangan Sabtu ini sangat penting buat Kedah bagi kembali menyinar dalam kejohanan Liga Malaysia, setelah terlepas semua gelaran musim lepas. Para pemain Kedah tidak dijanjikan sebarang ganjaran sekiranya berjaya menjulang Piala FA.

Bagi ketua jurulatih Ahmad Yusof, beliau tidak mahu anak buahnya cepat selesa jika sudah mendahuli lawan, seperti yang berlaku di kalangan pemain Kedah sebelum ini.

"Pemain saya perlu mencontohi pemain dalam Liga Inggeris. Pemain Inggeris tidak pernah putus asa walaupun ketinggalan apatah lagi jika mereka mendahului lawan," katanya.

Bahagian tengah Kedah akan dimantapkan lagi bagi membantu jentera serangan yang diketuai Badrol Bakhtiar dan Shahrulizam Mustapha, kata Ahmad. - BERNAMA

Artikel Lain