suria

Sultan Ahmad Shah Berkenan Pertahan Jawatan Presiden FAM

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah telah menyatakan perkenan untuk terus meneraju persatuan induk bola sepak tanah air itu bagi penggal 2010-2014.

Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata beliau telah menghadap Sultan Ahmad Shah sebelum ini dan baginda telah menitahkan hasrat untuk mempertahankan jawatan yang disandang baginda sejak 1984, pada pemilihan kongres yang akan diadakan akhir Jun ini.

"Tuanku Presiden sedia mempertahankan jawatan dan baginda bersedia untuk memimpin FAM untuk penggal yang berikutnya," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Azzuddin berkata sumbangan yang telah diberikan oleh Sultan Ahmad Shah sepanjang 25 tahun menjadi Presiden FAM kepada pembangunan bola sepak negara begitu besar dan tidak ternilai.

"Sepanjang dua tahun dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM saya rasa amat gembira dan kagum dapat berkhidmat dengan baginda yang mempunyai semangat kecintaan dan minat yang tinggi terhadap sukan bola sepak," katanya.

Azzuddin juga menyatakan kesediaan untuk terus berkhidmat sebagai Setiausaha Agung badan itu jika dirinya masih diperlukan. - BERNAMA

Artikel Lain