suria

Webber Bermula Dari Petak Depan Pada GP Petronas Malaysia

SEPANG: Pemandu pasukan Red Bull Racing, Mark Webber merampas petak pertama pada perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Petronas Malaysia di sini esok, selepas mencatatkan masa terpantas satu minit 49.327 saat pada sesi kelayakan hari ini.

Ianya adalah pencapaian kali kedua sepanjang kariernya bagi pemandu dari Australia yang berusia 33 tahun itu, dan kali ketiga berturut-turut oleh pasukannya tahun ini.

"Sesi kelayakan kali ini amat sukar untuk semua orang, memang tidak dapat dipertikaikan. Jika anda lihat lopak air yang ada semasa sesi Q1 (kelayakan pertama) dan Q2, untuk menghabiskan satu pusingan pun adalah mencabar," kata Webber pada sidang media.

Webber juga memuji jurutera pasukannya kerana mencadangkan tayar bersesuaian yang membawanya pada kedudukan petak pertama.

"Keadaan trek adalah sukar pada sesetengah tempat tetapi saya menggunakan tayar yang sesuai," katanya selepas sesi yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini.

Menemani beliau pada barisan hadapan ialah pemandu pasukan Mercedes GP Petronas F1 Team, Nico Rosberg yang mencatatkan 1:49.327s.

"Pemanduan saya pada Q3 adalah yang terbaik bagi saya hari ini dan berjaya mencatatkan masa terbaik pada pusingan pertama. Semasa pusingan kedua tayar mula merosot jadi adalah mustahil untuk memandu lebih pantas.

"Saya yakin kita akan mempersembahkan satu perlumbaan yang sengit esok, tidak kira dalam keadaan basah atau kering," kata pemandu dari Jerman itu.

Rakan sepasukan Webber, Sebastian Vettel pula yang gagal menduduki petak pertama buat kali ketiga berturut-turut merekodkan masa ketiga terpantas dengan catatan 1:50.673s.

Hujan lebat di SIC menyebabkan sesi kelayakan tertangguh buat seketika selain menyaksikan beberapa pemandu yang menduduki tempat teratas menghadapi kesukaran untuk mengendalikan jentera masing-masing.

Antaranya ialah juara Grand Prix Australia, Jenson Button dari pasukan Vodafone McLaren Mercedes yang terbabas, sementara pemandu Ferrari, Fernando Alonso dan Felipe Massa serta pemandu pasukan McLaren, Lewis Hamilton tersilap perkiraan ketika keluar membuat pusingan dan gagal melayakkan diri ke Q2.

Button akan memulakan perlumbaan esok dari petak ke-17, manakala Alonso, Hamilton dan Massa masing-masing akan bermula dari petak 19, 20 dan 21.

"Kami menjangkakan hujan akan berhenti dan sebab itulah kami berada di dalam garaj lebih lama berbanding yang lain. Apabila kami keluar keadaan adalah lebih buruk dan kami tidak mampu memperbaiki masa kami.

"Bagaimanapun keputusan kelayakan tidak membawa makna kerana yang penting adalah mata yang dikutip selepas perlumbaan. Sudah tentu bermula dari petak belakang akan menyukarkan kedudukan kami, tetapi seperti yang kita lihat pada Ahad lepas di Melbourne, segalanya boleh berlaku dan kita perlu yakin dengan keupayaan kita," kata Alonso.

Perlumbaan 56 pusingan itu akan bermula pukul 4 petang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Piala Europa

Artikel Lain