suria

Jackie Stewart Ramal Lotus Mampu Capai Kehebatan Stewart F1 Team

KUANTAN: Juara dunia Formula Satu (F1) sebanyak tiga kali Sir Jackie Stewart berpendapat pasukan F1 negara, Lotus Racing, mampu mencapai kehebatan setanding dengan bekas pasukannya Stewart F1 Team.

Bagaimanapun, kata pemandu lagenda Britain yang diberi gelaran "The Flying Scot' itu, kehebatan tersebut tidak mungkin mampu dicapai dalam sekelip mata dan memerlukan ketekunan serta pencapaian tinggi dalam bidang teknikal.

"Bukan mudah membina pasukan baru seperti yang saya lalui bersama Stewart F1 Team dulu...wang, jurutera, aerodinamik dan prasarana amat sukar didapati.

"Ia tidak mungkin terlaksana dalam tempoh 12 bulan," katanya selepas merasmikan sebuah sekolah bagi kanak-kanak penghidap disleksia di sini hari ini.

Beliau berkata Stewart F1 Team hanya berjaya menaiki podium selepas 31 bulan penubuhannya iaitu apabila Johnny Herbert menjuarai Grand Prix Eropah pada 1999.

"Itupun sesuatu yang luar biasa juga kerana selalunya, masa yang perlu diambil adalah lebih lama," katanya.

Jackie atau nama sebenarnya John Young Stewart berkata teraju utama pasukan Lotus Racing, Datuk Seri Tony Fernandes, telah mencatat pencapaian membanggakan dalam tempoh yang singkat apabila kedua-dua kereta pasukan itu berjaya melintasi garisan penamat pada puisngan pertama di Bahrain.

Mengenai musim perlumbaan F1 tahun ini, Stewart berkata ia adalah antara musim paling menarik kerana sekurang-kurangnya 10 pemandu berkemampuan untuk muncul sebagai juara.

Beliau berkata senario F1 sekarang mempunyai persamaan dengan perlumbaan pada zaman penyertaannya dulu daripada segi jumlah pemandu yang berpotensi menjadi juara.

Stewart menjuarai gelaran F1 dunia pada 1969, 1971 dan 1973.

Perlumbaan pusingan ketiga siri dunia itu, Grand Prix Malaysia, akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Ahad ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Keputusan Piala Europa

Artikel Berikut

Artikel Lain