suria

Fairuz Teruja Untuk Memandu Kereta F1 Jumaat Ini

KUALA LUMPUR: Impian Fairuz Fauzy bakal menjadi kenyataan apabila pelumba pasukan Lotus Racing itu beraksi pada sesi latihan pertama perlumbaan F1 Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Jumaat ini.

"Saya menanti hari Jumaat ini kerana mendapat peluang memandu kereta T127 pada sesi latihan pertama...saya amat teruja," kata Fairuz dalam temubual eksklusif dengan Bernama.

Pelumba berusia 27 tahun itu berkata perlumbaan pasukan negara di gelanggang sendiri adalah penting.

Menurutnya, impian dan kemuncak setiap pelumba dalam sukan permotoran adalah memandu kereta F1 pada satu hari nanti dan beliau tidak terkecuali.

"Pengurusan pasukan memberitahu saya supaya bersedia untuk sesi latihan Jumaat ini," katanya yang akan menjadi pelumba negara kedua beraksi dalam F1 selepas Alex Yoong bersama pasukan Minardi pada musim 2001/2002.

Fairuz berkata, beliau tidak menjangka untuk memandu kereta F1 sebelum ini kerana sibuk menyertai perlumbaan lain seperti Formula Renault.

"Tahun lepas, saya hanya menonton Grand Prix Malaysia dalam televisyen ketika terlibat dalam perlumbaan siri dunia Renault di London.

"Ketika itu tidak terlintas dalam fikiran saya bahawa saya dapat mencapai impian saya dengan memandu kereta F1 tahun ini," katanya.

Beliau merupakan pelumba pertama memandu kereta Lotus apabila pasukan itu melakukan ujian masa di litar Silverstone, London, bulan lepas.

Dua pelumba pasukan itu ialah Jarno Trulli dan Heikki Kovalainen.

Katanya, pasukan itu masih mempunyai ruang untuk menampilkan prestasi yang lebih baik dan berjaya menamatkan perlumbaan pada pusingan pertama GP Dunia di Bahrain dan kemudian di Australia minggu lepas.

"Antara pasukan baru dalam F1, kami adalah terbaik ketika ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain