suria

Kejayaan Skuad Pelayaran Suntik Semangat Hadapi Sukan Asia 2010

LANGKAWI: Kejayaan Malaysia menggondol satu pingat emas dan tiga perak pada Kejohanan Pelayaran Asia ke-14 di Shanwei, Guangdong, China, Ahad lalu, telah menyuntik semangat pelayar negara menghadapi Sukan Asia 2010 di negara itu November ini.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) Mohd Afendy Abdullah berkata pencapaian cemerlang skuad negara itu adalah terbaik sejak Malaysia meraih satu emas, dua perak dan satu gangsa pada edisi 1999 di Pakistan.

"Kejayaan kali ini telah memberi semangat dan keyakinan kepada pelayar negara berusaha memburu pingat pada Sukan Asia 2010," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya pada masa ini lebih 30 pelayar elit dan pelapis negara sedang giat menjalani latihan di sini dalam persiapan menghadapi Sukan Asia ke-16 di Guangzhou, China, dari 12 hingga 27 Nov ini.

Selain itu, katanya pelayar negara turut dihantar ke Auckland, New Zealand, untuk menjalani latihan.

Pada Kejohanan Asia itu, pingat emas itu dimenangi menerusi gandingan Khairunnisa Mohd Afendy dan Norashikin Mohd Sayed dalam kelas wanita International 420.

Tiga pingat perak pula diperoleh menerusi Mohd Romzi Mohamad (kelas Laser Radial), Mohamad Farhan (Optimist) dan gandingan Ku Anas Ku Zamil dan Mohd Hafizuddin dalam acara lelaki kelas International 420.

Pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar, Malaysia meraih satu pingat emas menerusi Rufina Tan dalam kelas Optimist. - BERNAMA

Artikel Lain