suria

Azizulhasni Sandaran Utama Raih Tiga Emas Di ACC

KUALA LUMPUR: Pemenang pingat perak pada Kejohanan Dunia Mohd Azizulhasni Awang akan menjadi sandaran utama pasukan basikal negara untuk meraih tiga emas pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), bermula 10 April ini.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Abu Samah Wahab berkata Mohd Azizulhasni yang menang perak acara keirin itu di Denmark minggu lepas itu akan menyertai tiga acara.

"Selain mempertahankan dua emas yang dimenanginya dalam acara pecut 200 meter dan pecut berpasukan, Mohd Azizulhasni juga diharapkan akan menjuarai acara keirin," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Abu Samah bagaimanapun berkata sekiranya sasaran tiga emas itu tidak tercapai, PKBM tidak menganggapnya sebagai satu kegagalan.

"Ini kerana ACC pada tahun ini lebih dianggap sebagai persediaan untuk menghadapi dua kejohanan lebih besar pada tahun ini iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia penghujung tahun ini.

"Ia juga merupakan peluang terbaik untuk menguji kekuatan lawan terutamanya pelumba-pelumba dari China yang dilihat banyak mempamerkan peningkatan sejak kebelakangan ini," katanya.

Selain Mohd Azizulhasni, cabaran skuad trek kebangsaan turut akan digalas oleh enam lagi pelumba iaitu Mohd Rizal Tisin, Mohd Edrus Yunus, Mohd Hafiz Suffian, Mohd Hariff Salleh, Amir Mustafa Rusli dan Mohd Akmal Amrun.

"Kita juga mengharapkan Mohd Rizal akan dapat kembali kepada prestasi asal setelah berehat panjang akibat kemalangan jalan raya sebelum ini.

"Beliau bakal mempertahankan emas dalam acara pecut berpasukan bersama-sama Mohd Azizulhasni dan Mohd Hafiz selain beraksi dalam acara satu kilometer ujian masa," katanya.

Cabaran skuad lebuh raya pula diketuai oleh Raja Pecut Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010, Anuar Manan bersama-sama Ahmad Haidar Anuawar, Adiq Husainie Othman, Mohd Zamri Salleh, Mohd Nur Ridzuan Zainal, Ahmad Fallanie Ali dan Ng Yong Li.

Selain itu, PKBM turut menghantar empat pelumba wanita iaitu Fatehah Mustapha, Norazian Alias, Nurul Akhmar Badeuzzaman dan Marina Mohamad.

Pada ACC tahun lepas yang berlangsung di Kalimantan, Indonesia, Malaysia memenangi dua pingat emas, dua pingat perak serta dua pingat gangsa. -BERNAMA

Artikel Lain