suria

Hoki Piala Tun Abdul Razak: Kuala Lumpur Sekadar Kongsi Mata Dengan Johor

KUANTAN: Pendahulu liga Kuala Lumpur hanya sekadar berkongsi satu mata dengan Johor selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 pada perlawanan divisyen 1 Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak di Stadium Wisma Belia di sini, semalam.

Kuala Lumpur, yang dibimbing oleh Nor Saiful Zaini, itu berjaya menghasilkan gol tunggal pada minit ke-15 menerusi jaringan padang Tajul Roslie Mohamed sebelum S. S. Baljit Singh menyamakan kedudukan pada minit ke-63.

Dalam dua perlawanan lain dalam Divisyen 1, Pulau Pinang mencapai kemenangan pertama selepas menang tipis 3-2 ke atas ATM.

Bagaimanapun, ATM bermula agresif apabila menjaringkan gol pendahulu seawal minit ketiga menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Razali Mohd Hazemi.

Gol awal itu tidak mematahkan semangat pasukan Pulau Pinang yang melakukan serangan balas untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-21 menrerusi Mohd Izzat Mohd Rahim sebelum ATM kembali di hadapan menerusi gol kedua hasil jaringan padang Mohd Noor Saad pada minit ke-45.

Semangat juang tinggi yang ditunjukkan pemain Pulau Pinang sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-55 hasil jariang pukulan sudut penalti oleh Jivan Mohan.

Craig Joseph Fernandez muncul wira apabila meledakkan gol kemenangan 10 minit kemudian untuk membantu Pulau Pinang mengutip mata penuh.

Dalam satu lagi perlawanan, juara bertahan Melaka sekali lagi gagal mencipta kemenangan apabila tewas 0-2 di tangan pasukan Perak.

Mohammad Noor Khairul Azrain muncul wira pasukan Perak selepas berjaya meledakkan dua gol menerusi jaringan padang pada minit ke-29 dan 31.

Sementara itu, dalam perlawanan liga Divisyen 2, di Padang Hoki Majlis Sukan Pahang, pendahulu Kumpulan B, Pahang mengukuhkan kedudukan selepas berjaya menundukkan Terengganu 5-3.

Kejayaan pasukan Pahang dibantu menerusi jaringan Mohd Al-Fadhir Kasim pada minit ke-10 dan 44, Mohd Sufian Mohamad (26) dan Muhamad Hafiz Zainul (46 dan 67) manakala gol Terengganu dijaringkan oleh Faizal Saari (49 dan 70) dan Muhammad Firhan Ashari pada minit ke-49.

Dalam satu lagi perlawanan Divisyen Dua, Selangor berjaya membenamkan pasukan Brunei 7-0.

Gol-gol Selangor berjaya diperolehi menerusi jaringan Mohd Redza Maadun (1 dan 55), Mohd Yazid Yahya (11), Muhammad Amerrullah Abdul Aziz (45, 51, 59) dan Faridzul Afiq Mohd (67). - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain