suria

8,423 Atlet Dan Pegawai Sahkan Penyertaan Ke Sukma Melaka

KUALA LUMPUR: Seramai 8,423 atlet dan pegawai mengesahkan penyertaan mereka pada temasya Sukan Malaysia ke-13 (Sukma) di Melaka yang akan berlangsung dari 10 hingga 19 Jun ini.

Pengarah Pengurusan Acara Majlis Sukan Negara (MSN) Abdul Jalil Abdullah berkata ia terdiri daripada 6,422 atlet dan 2,001 pegawai daripada 14 kontinjen.

"Jumlah itu adalah muktamad. Pihak penganjur tidak akan menerima sebarang rayuan untuk pendaftaran baru selepas tarikh akhir 15 Feb lepas," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata jumlah 8,423 itu tidak termasuk atlet dan pegawai dari Brunei kerana negara berkenaan merupakan kontinjen jemputan dan belum mengesahkan jumlah anggota kontinjen mereka.

"Kami anggarkan kontinjen Brunei akan menghantar 300 hingga 400 atlet dan pegawai dan mereka hanya akan bersaing dalam beberapa acara sukan," katanya.

Mengenai infrastruktur untuk temasya itu, Abdul Jalil berkata kesemua gelanggang dijangka siap sepenuhnya pada hujung April dan penganjur telah memberi jaminan mengenai perkara itu kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Shabery Cheek. -BERNAMA

Artikel Lain