suria

F1: Jualan Tiket Meningkat 30 Peratus - CEO SIC

SEPANG: Penganjur sukan permotoran negara, Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC) yakin penjualan tiket bagi perlumbaan Formula Satu (F1) mampu mencapai sasaran iaitu 100,000 tiket.

"Dari segi peratusan, kita dapati jumlah penjualan tiket setakat ini meningkat 30 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Bagaimanapun, saya belum mendapat maklumat lengkap mengenai jumlah sebenar tiket yang telah dijual.

"Dengan trend seumpama ini, saya yakin sasaran untuk menarik 100,000 penonton ke Litar Sepang pada hari perlumbaan akan tercapai," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC Razlan Razali kepada Bernama di sini pada Sabtu.

Dari segi pecahan jumlah pembelian pula, Razlan berkata kebanyakan adalah daripada pelancong luar negara.

"Seperti tahun-tahun sebelum ini, penonton tempatan juga turut menyumbang dari segi pembelian tetapi mereka suka menunggu sehingga ke saat-saat akhir untuk membeli tiket.

"Penglibatan semula juara tujuh kali Kejohanan Dunia F1, Michael Schumacher dan kemunculan pasukan Lotus Racing sedikit sebanyak membantu penjualan tiket untuk tahun ini," katanya.

Beliau turut menasihatkan semua penonton yang hendak menyaksikan perlumbaan F1 Grand Prix Malaysia supaya tiba awal ke Litar Sepang untuk mengelakkan kesesakan.

"Di samping itu, saya berharap mereka juga dapat mematuhi peraturan yang telah ditetapkan," katanya.

Menyentuh mengenai edisi ke-12 perlumbaan Grand Prix Malaysia, Razlan berkata SIC telah mendapat kebenaran daripada Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIA) untuk membuat kelainan dalam persembahan sebelum perlumbaan dimulakan.

"Seperti tahun-tahun yang lepas, sebelum perlumbaan dimulakan, kita akan adakan perarakan pemandu mengelilingi litar tetapi bagi tahun ini, kita mahu adakan pengenalan pelumba seperti dalam pertandingan bola sepak.

"Pelumba akan masuk ke litar dengan diiringi oleh kanak-kanak. Sementara itu, kanak-kanak itu juga berpeluang menanyakan satu soalan kepada pelumba," katanya.

Menurut beliau seramai 12 kanak-kanak berusia antara lapan dan 14 tahun daripada sekolah-sekolah sekitar Lembah Klang telah dipilih untuk tujuan itu.

"Tujuan kita adakan acara ini ialah untuk mendekatkan sukan permotoran khususnya perlumbaan F1 di kalangan kanak-kanak.

"Apa yang menarik semasa uji bakat diadakan bulan lepas, ada di antara mereka yang berusia tiga tahun dan amat meminati Schumacher. Boleh dikatakan apabila sebut sahaja F1, kanak-kanak ini akan terus mengaitkannya dengan Schumacher," kata Razlan.

Litar Sepang menjadi tuan rumah kepada pusingan ketiga perlumbaan Kejohanan Dunia F1 FIA tahun ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Piala Europa

Artikel Lain