suria

Gara-Gara Gila Bola Penyokong Sanggup Beli Tiket Mahal

KUALA LUMPUR: Gara-gara gila bola ada sesetengah penyokong yang sanggup membeli tiket dengan harga yang berlipat kali ganda daripada harga asal semata-mata untuk menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Penyokong Negeri Sembilan, Mohd Ashraf Noorul Azahar, 22, yang masih belum mendapatkan tiket berkata dia sanggup membeli tiket pada harga yang mahal semata-mata untuk menonton perlawanan akhir itu secara langsung.

"Tiket habis cepat. Kalau ada pun kena beli daripada 'ulat-ulat' yang menjual tiket dengan harga yang lebih mahal iaitu sehingga RM100 bagi sekeping tiket sedangkan harga sebenar hanya RM20.

Walaupun kena beli daripada ulat, saya akan cuba juga dapatkan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di perkarangan Stadium Nasional di sini hari ini.

Semalam dilaporkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia sebanyak 85,000 tiket sudah habis dijual termasuk 10,000 yang dijual dalam tempoh sejam di stadium itu.

Tinjauan Bernama di sekitar stadium petang tadi mendapati rata-rata penyokong kedua-dua pasukan sudah memiliki tiket dan tiba di stadium seawal pukul 6 pagi bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di sebelah petang malah ada yang sanggup tidur di kaki lima stadium sementara menunggu waktu perlawanan bermula. Seorang penyokong Kelantan, Mohd Firdaus Imtiazalam, 20, berkata dia bertuah kerana mendapat tiket dengan harga RM20 sahaja dan sampai awal bagi menyaksikan perlawanan final itu.

"Saya datang ke stadium menaiki bas rombongan yang menawarkan tambang RM65 (pergi dan balik) termasuk harga tiket perlawanan dan tiba seawal 6.30 pagi tadi," katanya.

Manakala Abdul Rahman Mohd, 20, pula berkata dia dapat membeli tiket di Kelantan dengan harga RM20.

"Kami datang beramai-ramai dalam satu bas dan tiba di sini kira-kira 9.30 pagi tadi bagi memberi sokongan moral kepada pemain negeri kami (Kelantan)," katanya.

Sementara itu, seorang ulat tiket yang hanya dikenali sebagai Habi, berkata sebanyak 600 tiket sudah dijual semalam dengan harga antara RM70 hingga RM100.

"Ramai juga yang beli walaupun harga tiket yang saya tawarkan mahal dan hari ini semua tiket sudah habis dijual," katanya yang juga turut mengambil kesempatan mencari duit lebih dengan menjual minuman ringan di laluan pejalan kaki stadium. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain