suria

Lebih 300 peserta beraksi Kejohanan Tenis Remaja Antarabangsa

KANGAR: Lebih 300 pemain tenis remaja daripada 12 negara bakal beraksi pada Kejohanan Tenis Remaja Antarabangsa Piala Tuanku Syed Putra Perlis-MILO di sini Disember ini.

Kejohanan kali ke 29 itu dianjurkan bersama oleh kerajaan negeri Perlis dan Persatuan Tenis Perlis yang berlangsung mulai 5 Disember sehingga 9 Disember ini.

Pengarah kejohanan, Cheng Joo Chong berkata selain Malaysia, turut menghantar peserta ialah Korea Selatan, Afrika Selatan, Indonesia, Filipina, Turkmenistan, Taiwan, Uzbekistan, Kazakstan, Sri Lanka, Thailand dan Singapura.

Beliau berkata peserta akan menyertai acara perseorangan dan beregu lelaki dan perempuan bagi peringkat umur bawah 7, 8, 10, 12, 14 dan 16 tahun.

Joo Chong yang juga Naib Presiden Persatuan Tenis Perlis berkata kejohanan akan berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Perlis itu antara lain bertujuan mendedahkan para pemain tenis remaja negara ini dengan kejohanan bertaraf antarabangsa.

Sebelum ini banyak pemain tenis negara yang lahir daripada kejohanan itu termasuk Andy Cheng, Alfie Cheng dan Afizal Abu Othman. BERNAMA

Artikel Lain