suria

Kejohanan kapal layar MMRC tarik 12 penyertaan

KUALA LUMPUR: Kejohanan Kapal Layar Malaysia (MMRC) 2009 setakat ini telah berjaya menarik 12 pasukan pada kejohanan yang akan berlangsung dari 23 hingga 26 Nov ini di Kuala Terengganu.

Kejohanan empat hari itu menawarkan tiket kepada pemenang untuk mewakili Malaysia dalam kejohanan Piala Monsoon yang akan berlangsung dari 1 hingga 6 Dis ini.

"Saingan tahun ini juga menyaksikan kembalinya Pasukan Angkatan Tentera Malaysia 1 (ATM 1), ATM 2, Harimau Selatan (sebelum ini dikenali sebagai Pasukan Perahu layar Johor) dan pasukan Taring Pelangi yang dilatih oleh juara tahun lepas, Nurul Ain Md Isa," kata penganjur kejohanan dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tiga pasukan Novis iaitu Asian Yachting Racing Team, Team ViewPoint dan Team Putrajaya Five O akan membuat penampilan pertama dalam kejohanan itu.

Selain itu kejohanan turut disertai oleh pasukanpasukan yang dianggap sebagai "regular" seperti Club Marina Terengganu, Sail Putrajaya, Duyong Heritage Sailing Team (DHST), Royal Selangor Yacht Club (RSYC) dan Koo Racing Team.

Pasukan DHST dijangka menjadi pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan itu kerana krewkrew pasukan itu kebanyakannya berasal dari Pulau Duyong, lokasi kejohanan Piala Monsoon.

Skipper pasukan, Mohd Rais Hashim berkata pasukannya telah membuat persediaan awal untuk kejohanan itu sejak beberapa bulan yang lepas bersama seorang jurulatih pelayaran dari Australia, David Mills.

"Kami mahu memastikan tempat layak ke Piala Monsoon dengan memenangi kejohanan ini dan ini pastinya akan menggembirakan keluarga dan kawan-kawan kami di Pulau Duyong," katanya.

Menurutnya selepas memenangi Piala Heritage Bay baru-baru ini, ia menaikkan lagi semangat pasukan untuk meraih pencapaian lebih tinggi dalam sukan pelayaran.

Sementara itu, penasihat Piala Monsoon yang juga juara bertahan, Datuk Peter Gilmour berpuas hati dengan penyertaan pasukanpasukan yang akan menyertai MMRC, yang teramai setakat ini.

"Ini ialah hasil daripada minat yang tercetus daripada penganjuran Piala Monsoon sejak dianjurkan lima tahun lepas dan kami sangat berbangga dengan pencapaian ini. Ini juga menunjukkan saingan perlumbaan semakin berkembang. Ia juga hasil kerja keras dan sumbangan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk memajukan sukan ini," kata Gilmour. BERNAMA

Artikel Lain