suria

FAP memperkenalkan kontrak tiga tahun untuk setiap pemain

PULAU PINANG: Perjanjian kontrak tiga tahun bakal diperkenalkan untuk semua pemain yang terpilih untuk menyarung jersi bola sepak Pulau Pinang untuk musim akan datang.

Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata cadangan kontrak tiga tahun itu bukan hanya memberi manfaat dan kelebihan kepada persatuan malah pemain pasukan Harimau Kumbang kelak dengan melatih sekali gus mewujudkan satu program pintar kepada negeri ini.

"Langkah tersebut diambil bagi mengelakkan sebarang kerugian daripada pihaknya apabila pasukan lain menyambar pemain yang telah digilap dengan baik oleh FAP," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Agung Khas dan mesyuarat Agung tahunan FAP di Dewan Seri Pinang semalam.

Menurutnya, perkara tersebut tidak menjadi masalah kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan beliau akan mencadangkan perjanjian kontrak tersebut pada mesyuarat majlis jawatankuasa persatuan itu pada 30 Oktober ini.

"Dengan kontrak tiga tahun ini nanti mana-mana pihak yang berminat mendapatkan khidmat pemain itu...kami masih boleh berbuat demikian tetapi mereka perlu membayar kepada kami terlebih dahulu," katanya.

Pada Mesyuarat Agung FAP, Zahrain kekal sebagai presiden FAP bersama timbalannya Faudzi Naim Noh dan dua orang naib presiden iaitu Abdul Shukor Salleh dan Gulam Rusol Md Ismail.

Zahrain berkata FAP tidak menolak kemungkinan untuk mencari pemain baru yang berpotensi bagi menghadapi musim baru dan semua kontrak pemain lama termasuk jurulatih pasukan yang akan tamat pada November ini tidak semestinya akan disambung semula.

"FAP perlu berbincang mengenainya sama ada hendak mengekalkan mereka, termasuk jurulatih atau tidak dan itu semua akan dibincangkan dalam mesyuarat itu nanti," katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata FAP telah menyelesaikan semua gaji tunggakan pemain dan gaji mereka telah dibayar setiap bulan.

Dalam saingan Piala Malaysia musim ini, skuad Harimau Kumbang yang sekumpulan dengan juara bertahan Kedah, Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia dalam Kumpulan E, gagal melepasi peringkat kumpulan dengan sekadar menduduki tempat ketiga di belakang Kelantan dan Kedah. BERNAMA

Artikel Lain