suria

Skuasy Terbuka Hong Kong: Nicol, Mohd Azlan mara ke suku akhir

KUALA LUMPUR: Ratu Skuasy Malaysia dan pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David dan Mohd Azlan Iskandar mara ke pusingan suku akhir kejohanan skuasy Terbuka Hong Kong semalam.

Nicol, 25, menempah tempat selepas menewaskan pemain tuan rumah Rebecca Chiu dalam straight set 11-3, 11-6 dan 11-3 dengan mengambil masa 26 minit.

Beliau akan bertemu pilihan kelima Jenny Duncalf dari England, yang mengetepikan pemain Mesir, Engy Kheirallah 11-7, 5-11, 11-5 dan 11-5 dalam masa 47 minit.

Dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua, pemain Perancis, Camille Serme melangkah ke pusingan berikutnya tanpa berdepan pilihan kedua Natalie Grinham dari Netherlands, yang menarik diri daripada pertandingan itu kerana kurang sihat.

Sementara itu, Mohd Azlan terpaksa berhempas pulas selama 72 minit menentang pilihan kelima David Palmer sebelum menamatkan perlawanan 3-2.

Mohd Azlan, pemain bukan pilihan, tewas kepada Palmer 6-11 dalam set pertama sebelum bangkit semula untuk memenangi set kedua dan ketiga dengan catatan 12-10 dan 11-7.

Bagaimanapun, Palmer berjaya menyamakan kedudukan dalam set berikutnya dengan kemenangan 11-7 yang memaksa perlawanan penentu diadakan.

Dalam set akhir, Mohd Azlan menang 11-4 untuk melangkah ke suku akhir dan akan bertemu pilihan utama, Karim Darwish dari Mesir.

Terdahulu, Karim terpaksa bermain perlawanan empat set menentang pilihan ke11 Laurens Jan Anjema dari Netherlands. Beliau menang perlawanan 53 minit itu dengan 11-9, 8-11, 11-7 dan 11-7. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain