suria

Azraai lepaskan jawatan ketua jurulatih Kedah

ALOR SETAR: Selepas membawa pasukan Kedah muncul juara "treble" dua musim dalam kancah saingan liga bola sepak Malaysia pada 2007 dan 2008, ketua jurulatih skuad bola sepak Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua jurulatih pasukan itu berkuatkuasa serta merta.

Mohd Azraai berkata surat peletakan jawatannya telah dihantar pagi tadi kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian Dan Warisan Kebudayaan negeri Dr Hamdan Mohamed Khalib.

"Saya rasa bertanggungjawab atas kegagalan Kedah melangkah ke peringkat suku akhir Piala Malaysia dan meletak jawatan adalah jalan terbaik bagi saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Katanya, beliau tidak lagi berminat untuk bersama Kedah kerana bosan dengan kerenah pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang tidak memberi kerjasama dalam beberapa hal terutamanya dalam usaha mendapatkan pemain baru.

"Sebenarnya sebelum kempen Piala Malaysia bermula, saya berjaya mendapatkan pemain pasukan TTeam iaitu Haris Safwan untuk memperkukuhkan bahagian serangan tetapi pengurusan KFA seolah-olah tidak serius untuk mengambil pemain itu dan ini sangat mengecewakan saya," katanya.

Azraai berkata, beliau hanya mahu bekerja dengan memberikan yang terbaik untuk pasukan Kedah, namun KFA dakwanya sering mempolitikkan bola sepak dan tidak mahu mengambil pemain luar.

"Saya tidak rasa ralat dengan keputusan ini (meletak jawatan) kerana sepanjang saya menjadi jurulatih, saya telah buat yang terbaik untuk pasukan dan saya berharap jurulatih bakal menggantikan saya kelak akan buat yang lebih baik dan menaikkan semula nama pasukan Kedah," kata yang menjadi jurulatih Kedah sejak tahun 2004.

Di bawah bimbingan Azraai Kedah telah menjulang tiga piala iaitu Juara Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada musim 2007 dan 2008.

Mohd Azraai kini turut dikaitkan dengan tugas selaku ketua jurulatih pasukan Harimau Muda dalam Liga Super musim depan.

Sementara itu, Dr Hamdan ketika dihubungi enggan mengulas mengenai peletakan jawatan Azraai. BERNAMA

Artikel Berikut

Kedudukan Piala Malaysia

Artikel Lain