suria

Kontinjen 150 atlet Malaysia ambil bahagian dalam Sukan Tertutup Asia

KUALA LUMPUR: Kontinjen 90 atlet negara bersama 60 pegawai serta jurulatih akan mengambil bahagian dalam lapan acara sukan pada edisi ketiga Sukan Gelanggang Tertutup Asia di Vietnam dari 30 Oktober hingga 8 November ini.

Mereka yang akan mengambil bahagian dalam acara sukan tari, Petanque, Sepaktakraw bulatan, Kabaddi, Pencak Silat, Futsal (lelaki dan wanita) Tarian Naga serta Singa, dan boling.

Presiden majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Tan Sri Imran berkata secara rasminya tiada sasaran pungutan pingat diletakkan dalam saingan temasya sukan yang membabitkan 39 negara itu kerana banyak acara yang dipertandingkan bukan membabitkan acara Olimpik.

"Namun saya harap para atlet tetap akan bekerja keras untuk membawa pulang beberapa pingat sebagai satu penghormatan kerana mewakili Malaysia dalam satu acara sukan antarabangsa seperti ini," katanya selepas majlis penyerahan bendera negara di sini hari ini.

Sementara itu ChefdeMission kontinjen M. Shamugarajah berkata walaupun tiada sebarang sasaran pungutan pingat ditetapkan, beliau percaya para atlet akan melakukan yang terbaik dalam setiap saingan.

Venue acara sukan pada kejohanan itu ditetapkan di tiga bandar raya utama Vietnam; iaitu ibukota Hanoi, bandar raya Ho Chi Ming, dan Hai Duong.

Idea mengenai kejohanan gelanggang tertutup Asia ini tercetus apabila Majlis Olimpik Asia (OCA) pada 2001 membangkitkan cadangan supaya diadakan satu Sukan Gelanggang Tertutup Asia yang disasar bagi memupuk serta menyemai minat terhadap aktiviti sukan di kalangan penduduk rantau ini.

Sukan Gelanggang Tertutup Asia yang pertama diadakan di Thailand pada tahun 2005 dan yang kedua di Macao (2007). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain