suria

Enam pemandu disenarai pendek bagi 1Malaysia-Lotus F1 Team

KUALA LUMPUR: Enam pemandu disenarai pendek bagi pasukan 1Malaysia-Lotus F1 Team, kata Ketua Pasukan Datuk Seri Tony Fernandes hari ini.

Beliau berkata pemandu GP2, Fairuz Fauzy merupakan satu-satunya pemandu Malaysia yang disenaraikan.

Fernandes bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya sama ada pemandu Itali, Jarno Trulli turut disenaraikan bagi pasukan itu.

"Apa yang boleh saya katakan ialah Fairuz Fauzy ada di dalam senarai. Kami akan mengumumkan barisan pasukan ini pada November," katanya selepas menyampaikan syarahan di Universiti Malaya di sini.

"Saya berharap lebih ramai pemandu Malaysia akan dipilih sama ada untuk menjadi pemandu kedua atau ketiga pasukan ini," katanya.

Fauzy, 27, pada masa ini bertanding dalam Kejohanan Siri Dunia oleh Renault, dan berpengalaman dalam GP2 serta berlumba untuk pasukan A1 Malaysia.

Beliau merupakan pemandu simpanan dan ujian bagi pasukan Spyker F1.

Trulli, yang ketika ini bersama Toyota, dilaporkan menjadi pemandu yang disebutsebut menyertai Lotus selepas menyatakan bahawa kontrak dengan pasukan sedia ada tidak mungkin diperbaharui bagi 2010.

Mengenai aspek teknikal, Fernandes berkata daripada 6,500 permohonan, 300 adalah untuk petugas teknikal.

"Ia menakjubkan. Saya melihat keghairahan dan keterujaan daripada mereka. Kami akan hanya mengambil 50 petugas teknikal dan ia akan diumumkan minggu depan," katanya.

Menyifatkan Pengarah Teknikal pasukan Mike Gascoyne sebagai seorang yang amat teliti, Fernandes berkata beliau kagum dengan kecemerlangan yang dilakukan oleh Gascoyne, yang mempunyai pengalaman luas kerana pernah bersama McLaren, Sauber, Renault dan Toyota.

"Maka, anda boleh melihat akan manfaat dan keuntungan yang diperoleh daripada F1. Ia satu permulaan yang baik. Ia bermula sebagai mimpi tetapi mimpi itu kini semakin menjadi kenyataan," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Kedudukan Piala Malaysia

Artikel Lain