PETALING JAYA: Pelumba basikal trek negara, Mohd Rizal Tisin yang cedera akibat kemalangan jalan raya Rabu lepas akan diberi bantuan rawatan terbaik supaya beliau dapat kembali bersaing dalam tempoh terdekat, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Mohd Rizal, pemenang pingat gangsa acara 1km ujian masa Kejohanan Dunia di Poland pada Mac lepas, selamat menjalani pembedahan selama empat jam di bahagian buku lali kirinya di Hospital Pakar Damansara.
"Beliau telah mendapat rawatan yang terbaik dan telah menjalani pembedahan yang agak rumit dan diberikan perhatian yang serius terhadap setiap kecederaan yang dialaminya. Saya dimaklumkan oleh doktor yang merawatnya, beliau akan sembuh dengan cepat.
"Cumanya, beliau perlu menjalani proses rehabilitasi yang akan dikendalikan oleh Institut Sukan Negara (ISN). Saya percaya beliau akan kembali dapat beraksi secepat mungkin mengikut jadual yang telah ditetapkan," kata Ahmad Shabery ketika ditemui pemberita selepas melawat Mohd Rizal di Hospital Pakar Damansara, di sini hari ini.
Turut hadir melawat jaguh lumba basikal trek itu ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Zolkples Embong dan Ketua Pengarah ISN Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz.
Dalam lawatan itu Ahmad Shabery turut diberi taklimat oleh doktor yang merawat Mohd Rizal, Dr Gan Eng Cheng, seorang pakar bedah kecederaan sukan dan perunding orthopedik di hospital berkenaan.
Menurut Ahmad Shabery, beliau telah dimaklumkan bahawa Rizal boleh kembali beraksi semula dalam tempoh tiga bulan lagi.
"Secara kebetulan juga, tidak ada kejohanan-kejohanan yang besar dalam masa terdekat ini. Di Sukan SEA Laos pun tidak ada acara berbasikal trek dipertandingkan. Jadi, saya rasa tidak ada perkara yang mengganggu proses pemulihan kecederaan beliau itu," katanya.
Sementara itu, Dr Gan yang ditemui berkata selepas pembedahan itu, Mohd Rizal perlu menjalani proses rehabilitasi dalam tempoh empat hingga enam minggu dan boleh menjalani latihan selepas tempoh itu.
"Selepas pembedahan ini, kita perlu pastikan bengkak pada bahagian buku lali itu surut dan luka-luka sudah sembuh. Tulang yang patah itu mungkin ambil masa tiga bulan untuk sembuh. Dalam masa itu, kita perlu pastikan otot-ototnya tidak mengecut dan banyak latihan perlu dilakukan," katanya.
Menurut Dr Gan, selepas pembedahan dilakukan, Mohd Rizal perlu menjalani rawatan susulan di hospital itu untuk tiga hari lagi sebelum dibenarkan keluar untuk menjalani proses rehabilitasi di ISN. BERNAMA


