suria

Skuad bawah 16 pilih laluan sukar pada Kejohanan FIBA Asia

JOHOR BAHARU: Skuad bola keranjang bawah 16 tahun lelaki negara memilih untuk bersaing di dalam kumpulan C yang dianggap kumpulan sukar pada Kejohanan Bola Keranjang Bawah 16 tahun Persekutuan Antarabangsa Bola Keranjang Asia (FIBA) Asia yang akan berlangsung di sini dari 19-27 November depan. Malaysia yang menjadi tuan rumah kejohanan yang julungjulung kalinya dianjurkan itu diberi penghormatan untuk membuat pilihan dalam menentukan kumpulan yang disertainya manakala 16 pasukan lain melalui proses undian untuk dibahagikan kepada empat kumpulan.

Malaysia memilih untuk berada dalam kumpulan C bersama Korea Selatan, Syria, Kuwait dan Singapura.

"Tiada kumpulan yang senang, semuanya sukar," kata jurucakap pasukan Malaysia yang menghadiri majlis undian kejohanan itu yang turut disaksikan oleh Exco Belia dan Sukan negeri, Jais Mohamad Sarday di sini hari ini.

Antara pasukan yang dianggap pilihan pada kejohanan itu ialah China yang diundi dalam kumpulan A bersama Myanmar, India dan Jordan.

Kumpulan B terdiri daripada pasukan Jepun, Filipina, Kazakhstan dan Bahrain manakala kumpulan D terdiri daripada pasukan Taiwan, Thailand, Iran dan Arab Saudi.

Setiap pasukan akan bermain secara round robin dengan hanya dua pasukan teratas dari setiap kumpulan mara ke pusingan suku akhir.

"Oleh kerana kejohanan ini kali pertama dianjurkan, kita tidak dapat menetapkan sistem kedudukan sesebuah pasukan dengan tepat, justeru, undian hari ini dibuat berdasarkan kedudukan serantau negara-negara itu dalam setiap kumpulan," kata Setiausaha Agung FIBA, Datuk Yeo Choo Hock.

Sementara itu, dalam saingan wanita yang akan berlangsung dari 30 Nov hingga 6 Dis depan di New Delhi, India, skuad wanita negara diundi dalam kumpulan B bersama Korea Selatan, Jepun, Sri Lanka, Thailand dan Kazakhstan.

Manakala kumpulan A terdiri daripada pasukan China, Taiwan, Singapura, Filipina, Hong Kong dan India. BERNAMA

Artikel Lain

Haqiem Stopa sah bercerai talak satu