suria

Jurulatih Tinju dari Thailand tiba Selasa ini

KUALA LUMPUR: Penantian petinju Malaysia bagi mendapat khidmat jurulatih baru berakhir apabila Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini mengesahkan akan menjemput Prisic Pongsang dari Thailand, Selasa depan, bagi membimbing skuad tinju negara.

Pengarah Cawangan Elit MSN Arrifin Mohd Ghani berkata kesulitan berkaitan proses dokumentasi untuk membawa masuk jurulatih dari Thailand itu telah berjaya diatasi dan ia akan membolehkan Prisic memulakan tugas secepat mungkin.

"Diharap dengan kehadiran jurulatih baru nanti, petinju negara dapat membuat persedian awal bagi menghadapi Temasya Sukan SEA di Laos pada Disember ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sebagai rekod, Prisic merupakan anak didik Somluck Kamsing yang merupakan pemenang pingat emas pertama Thailand pada Sukan Olimpik Atlanta 1996.

Jawatan jurulatih tinju kebangsaan kosong setelah jurulatih dari Kyrgyzstan, Kalen Asakanov, pulang ke negaranya pada 29 Dis 2008.

Ketika MSN bertungkus lumus membawa masuk bintang tinju Thailand membimbing skuad negara, Persekutuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) pula mempunyai perancangan berbeza. PTAM berhasrat menghantar barisan petinju elit dan pelapis menjalani latihan di Thailand dalam masa terdekat ini.

Setiausaha Kehormat PTAM Mejar (B) Maulud Othman berkata Persekutuan Tinju Thailand telah menjemput skuad negara menjalani latihan.

"Kita perlu jalani latihan di Thailand kerana negara besar seperti Cuba pun menjalani latihan di sana sebagai persiapan untuk menghadapi temasya Sukan Olimpik London 2010," katanya.

Mengenai khidmat Prisic, Maulud berkata pihaknya akan berbincang dengan jurulatih baru skuad tinju negara itu terlebih dahulu sebelum mengatur jadual latihan dan aktiviti. BERNAMA

Artikel Lain