LANGKAWI: Malaysia berharap menjadi antara 10 pasukan perahu layar Optimis terbaik dunia pada Kejohanan Optimis Dunia di Brazil Ogos ini.Jurulatih negara, Muhammad Sahir Abdul Rahim memberitahu di sini, bahawa hasrat itu mampu tercapai berdasarkan prestasi cemerlang skuad negara pada kejohanan perahu layar Optimis Singapura yang berakhir semalam. Pada kejohanan itu Malaysia meraih dua emas, satu perak dan satu gangsa bagi kategori individu dan berpasukan.Muhammad Sahir berkata bahawa dalam kejohanan itu, Malaysia telah memberi saingan kepada pasukan ternama dari New Zealand, Australia, Perancis, Thailand, Jepun, Singapura, Amerika Syarikat, India dan Belgium.Beliau berkata lima pelayar akan dipilih mewakili negara bagi kejohanan di Brazil nanti yang disertai 250 pelayar dari 50 negara. Muhamad Sahir berkata pencapaian terbaik skuad layar Malaysia di peringkat dunia ialah sebagai naib juara pada kejohanan dunia di Switzerland pada 2005 dan tempat ketiga di Ecuador pada 2006.Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia Mohd Afendy Abdullah berkata persatuan itu akan memberi ganjaran kepada skuad negara yang berjaya di Singapura."Ini adalah insentif yang diberi bagi menggalakkan pelayar terus mencipta kejayaan," katanya. BERNAMA