KUALA LUMPUR: Pemain badminton perseorangan negara Kuan Beng Hong dan beregu campuran Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari-Wong Pei Tty mara melepasi pusingan awal untuk meneruskan saingan dalam kejohanan badminton Terbuka Indonesia yang berlangsung di Gimnasium Istora Senayan, Jakarta semalam.Beng Hong, yang menduduki ranking ke-35 Persekutuan Badminton Dunia (BWF), bagaimanapun terpaksa berhempas pulas untuk menumpaskan Peter Koukal dari Republik Chech dalam permainan tiga set 21-23, 21-17, 21-19 yang berlangsung selama hampir sejam. Dalam pusingan awal pertama sebelum itu, Beng Hong menumpaskan pemain China Qui Yanbo juga melalui perlawanan tiga set 18-21, 21-17, 21-7 yang berlangsung selama 45 minit.Beregu campuran Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari dan Wong Pei Tty menumpaskan pasangan Taiwan Lee Sheng Mu dan Chien Yu Chin 21-12, 12-21, 24-22 dalam pusingan kelayakan kedua yang berlangsung selama 39 minit.Sebelum itu, pasangan Taiwan menumpaskan satu lagi beregu Malaysia Mohd Zakry Abdul Latif dan Eei Hui Chin dalam perlawanan dua set 21-16, 22-10 yang berlangsung selama 23 minit. Perseorangan wanita negara Anita Raj Kaur kandas ditangan pemain Indonesia Rizki Amelia Pradipta dalam permainan tiga set 19-21, 21-18 dan 21-15 dalam permainan yang berlangsung selama 46 minit.Beregu lelaki negara Gan Tiek Chai dan Tan Bin Shen pula tewas ditangan pemain Amerika Syarikat Howard Bach dan Tony Gunawan 21-19, 21-15.Datuk Lee Chong Wei pula bakal memulakan saingan hari ini dalam pusingan pertama bertemu Marc Zwebler dari Jerman. BERNAMA