suria

Johor dijangka pertahan kejuaraan Bola Keranjang Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Johor dijangka berdepan laluan mudah untuk mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaaan Piala MABA-Petronas kali ke-15 yang akan berlangsung di Muar, Johor dari 11 hingga 18 Julai ini.

Pada undian yang dijalankan hari ini, Johor diundi dalam Kumpulan A dan akan bertemu dengan pasukan kurang menyerlah pada edisi lepas; yang terdiri daripada Perak, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Sementara itu naib johan Piala MABA-Petronas edisi ke-14, Negeri Sembilan akan bertemu dengan Pulau Pinang, Perlis dan Sarawak dalam pertembungan kumpulan B dan ia dijangka akan menerima tentangan hebat oleh Pulau Pinang yang menduduki tempat kelima tahun lepas.

Kuala Lumpur pula yang merupakan pemenang tempat ketiga tahun lepas bakal berdepan laluan sukar apabila akan bertemu Selangor dalam saingan kumpulan C.

Kejohanan Piala MABA-Petronas ke15 bakal menyaksikan 12 pasukan beraksi bagi merebut hadiah bernilai RM5,000 beserta trofi.

Timbalan setiausaha agong Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Sim Sin Heng berkata kejohanan yang bermula pada 1995 kini memasuki edisi ke-15 dan MABA masih lagi bekerjasama dengan Petronas selaku rakan sukan bersama.

"Kami berharap agar kejohanan ini akan dapat diteruskan dan Petronas akan terus menjadi rakan sukan MABA. Selain itu kami juga berharap agar lebih banyak penyertaan pada masa depan," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain