suria

Piala Raja Thai peluang akhir intip kekuatan Thailand

KUALA LUMPUR: Kejohanan Piala Raja Thailand di Bangkok bulan depan merupakan medan terakhir bagi skuad sepak takraw lelaki kebangsaan untuk mengintip kekuatan sebenar Thailand sebelum bersaing pada Sukan SEA di Laos, Disember depan.

Berdasarkan program yang disusun Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), selepas kejohanan di Thailand dari 6 hingga 12 Julai itu, pemain kebangsaan hanya akan diuji melalui perlawanan-perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab dalam negara sahaja.

"Kita akan menghantar sekurang-kurangnya 15 pemain untuk bersaing dalam acara berpasukan dan beregu dan setiap pemain akan berpeluang untuk bermain dan mempamerkan kebolehan mereka pada kejohanan itu," kata ketua jurulatih kebangsaan Haris Abd Rahman kepada Bernama hari ini.

Haris berkata pada Kejohanan Sepak Takraw Dunia di Terengganu pada penghujung bulan lepas, Thailand hanya menghantar beberapa pemain 'senior' dan berpengalaman untuk bersaing dalam acara antara regu dan beregu.

"Selebihnya pasukan itu terdiri daripada pemain-pemain muda, kerana satu kelebihan mereka adalah mempunyai banyak pilihan pemain untuk diketengahkan berbanding kita yang terhad," katanya.

Meskipun begitu, Thailand pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Negeri itu tetap mempamerkan kehebatan mereka apabila menjuarai acara antara regu, berpasukan dan beregu.

Mengenai kekalahan pasukan kebangsaan pada Kejohanan Sepak Takraw Dunia itu, Haris berkata beliau sedang dalam proses untuk menyiapkan laporan lengkap tentang perkara itu.

"Malah saya akan berjumpa secara individu dengan semua pemain terutamanya berkenaan kekalahan tidak diduga kepada Indonesia pada peringkat separuh akhir acara berpasukan," katanya.

Haris juga kini boleh menarik nafas lega apabila pemain apit kanan yang juga merupakan 'killer' berpengalaman, Mohd Azlan Mubin akan kembali untuk menyertai latihan skuad kebangsaan hujung bulan ini setelah berehat akibat pembedahan lutut sejak awal tahun ini.

"Kemasukan Azlan dan seorang lagi pemain 'killer', Hamikhairi Muhammad Roslan diharapkan akan dapat memantapkan lagi skuad kebangsaan ditambah dengan kehadiran Iskandar Arshad yang bertindak selaku jurulatih 'killer' sejak awal bulan ini," katanya. BERNAMA

Artikel Lain