suria

Skuad hoki remaja masih ada harapan, kata Razali

PETALING JAYA: Kegagalan skuad hoki remaja menempatkan diri dalam kelompok lapan pasukan terbaik pada Kejohanan Hoki Remaja Dunia bukan bermakna ia adalah titik noktah buat skuad berkenaan, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim.

Beliau berkata kejohanan itu merupakan pentas pendedahan yang baik buat atlet remaja negara, dan mereka juga jelas dilihat memberi memberi tumpuan kepada permainan dan juga kejohanan.

"Ini (kejohanan) adalah salah satu platform yang patut mereka gunakan untuk mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa," katanya semasa mengulas pencapaian skuad hoki remaja di kejohanan berkenaan.

Razali ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Kempen Kutipan Dana Tabung Yakeb "1Ringgit 1Malaysia" dan program televisyen "Bersamamu Wira Sukan, Anda Tetap Di Hati" terbitan TV3 oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor di perkarangan Sri Pentas, Bandar Utama di sini, semalam.

Selepas melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan pada Kejohanan Hoki Remaja Dunia yang sedang berlangsung, skuad hoki remaja negara akan bertanding untuk menentukan kedudukan keseluruhan (kesembilan dan seterusnya).

Pasukan itu tewas di tangan Poland 12 kelmarin dan selepas ini mereka bakal menentang Mesir dan Afrika Selatan.

"Apa yang penting sekarang ialah perancangan dan pengisian Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) dalam membentuk program latihan bagi menyediakan skuad hoki yang mantap untuk berada dalam ranking terbaik dunia. Pada saya, kalau menjadi juara dalam mana-mana kejohanan remaja, tidak bermakna pasukan itu betul-betul baik," katanya.

Razali berkata sebagai persediaan KBS dan PHM akan mengatur seberapa banyak kejohanan untuk disertai oleh skuad negara dalam usaha memberikan lebih banyak pendedahan kepada mereka. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain