KUALA TERENGGANU: Mulai 5 Mei ini, semua perlawanan bola sepak Liga Super dan Liga Perdana di Terengganu akan diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINs) kerana Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin akan dibaikpulih.
Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Abdullah Salleh berkata perubahan tempat itu dipersetujui Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat Sabtu lepas.
"Kerajaan negeri dan sekretariat Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan mereka bersetuju dengan perubahan tempat berkenaan," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata harga tiket untuk menyaksikan perlawanan Liga Super dan Liga Perdana di SSINS, yang membabitkan pasukan Terengganu dan TTeam, masih kekal RM20 untuk tempat duduk berbumbung dan RM10 bagi kawasan terbuka.
Abdullah berkata pada 5 Mei ini, pasukan Terengganu akan menentang Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super. BERNAMA


