suria

Selesema babi: Majlis Olimpik rujuk Kementerian Kesihatan sebelum hantar atlet ke Thailand

KUALA LUMPUR: Bimbang dengan bahaya wabak selesema babi yang kini mula merebak di Thailand, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan mendapatkan nasihat Kementerian Kesihatan sebelum membuat keputusaan menghantar atlet negara ke Temasya Seni Mempertahankan Diri Asia yang pertama di Bangkok dari 6 hingga 14 Jun ini.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi berkata, sekiranya wabak itu terus menular di sana, Malaysia tidak menolak kemungkinan menarik diri daripada menyertai temasya tersebut.

"Kita perlu beri keutaman kepada keselamatan atlet kerana mereka adalah aset negara, " katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sieh berkata, sekiranya wabak tersebut mampu diatasi dalam masa terdekat, MOM akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan untuk mengkaji balik kemungkinan menghantar atlet ke sana.

Beliau juga menasihati semua atlet negara agar tidak berkunjung ke negara yang diserang wabak selesema babi agar tidak terkena jangkitan virus H1N1 itu.

"Buat sementara ini adalah lebih elok untuk atlet berada dalam negara kerana Malaysia adalah antara negara yang masih bebas daripada ancaman wabak penyakit itu," katanya.

Kementerian Kesihatan semalam menyebut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah meningkatkan amaran Influenza Pandemik daripada Fasa 3 kepada Fasa 4 berdasarkan situasi semasa berikutan semakin banyak kes selesema babi di kesan di seluruh dunia.

Pada Temasya Seni Mempertahankan Diri Asia yang Pertama itu, Malaysia hanya akan diwakili atlet Persatuan Silat Kebangsaan (Pesaka) dan Persekutuan Karate Malaysia (Makaf).

Sebanyak 45 negara yang bernaung dengan Majlis Olimpik Asia (OCA) akan menyertai kejohanan yang menawarkan sembilan jenis sukan bela diri iaitu taekwondo, tinju tendang, karate, muay thai, jujitsu, judo, kurash, wusyu dan pencak silat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain