suria

Terengganu beri insentif RM20,000 kepada Azizulhasni Awang

KUALA TERENGGANU: Kejayaan Azizulhasni Awang meraih pingat perak pada Kejohanan Basikal Trek Dunia di Poland minggu lepas, terus mendapat pengiktirafan apabila kerajaan negeri Terengganu mengumumkan untuk memberi insentif sebanyak RM20,000 kepada pelumba kelahiran Dungun itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata imbuhan tersebut akan disampaikan Menteri Besar Datuk Ahmad Said pada satu majlis yang akan diadakan di Stadium Negeri pada 12 April ini.

"Pemberian insentif ini sebagai menghargai kejayaan Azizulhasni mengharumkan nama negara dalam sukan lumba basikal," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pada Kejohanan Basikal Trek Dunia di Pruszkow, Poland, skuad Malaysia mencipta sejarah apabila meraih dua pingat.

Azizulhasni menyumbangkan pingat perak dalam acara pecut individu manakala seorang lagi pelumba negara, Mohd Rizal Tisin memenangi gangsa dalam acara 1km ujian masa individu.

Semalam, Azizulhasni menerima habuan berbentuk wang tunai apabila Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memberi insentif berjumlah RM7,500 kepadanya manakala Mohd Rizal menerima RM5,500.

Sehari sebelum itu, Azizulhasni turut menerima insentif di bawah Skim Hadiah Kecemerlangan (SHAKAM) Majlis Sukan Negara (MSN) berjumlah RM20,000 atas kejayaannya itu.

Abdul Rahin berkata Azizulhasni dijangka pulang ke Terengganu pada 12 April ini dan kerajaan negeri sedang mengatur persiapan untuk menyambut kepulangannya secara besar-besaran.

"Kita akan menyambut Azizulhasni di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dan beliau akan diarak ke Stadium Negeri untuk majlis sambutan yang akan dipenuhi dengan pelbagai acara," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa memberi galakan kepada atlet Terengganu yang berjaya dalam bidang sukan sama ada di peringkat antarabangsa mahupun tempatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain