suria

Piala Monsun menang Anugerah Brand Laureate 2008/2009

KUALA LUMPUR: Piala Monsun di Terengganu, antara venue siri kejohanan Jelajah Lumba Perahu Layar Dunia (WMRT), menerima Anugerah Brand Laureate Country Branding 2008/2009 pada satu majlis di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Penganjur perlumbaan itu, Monsoon Cup Malaysia, dalam kenyataannya berkata Piala Monsun, pusingan akhir WMRT yang penuh berprestij, meletakkan Malaysia di peta dunia dalam bidang sukan antarabangsa, di samping mempromosikan pelancongan di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Terengganu Datuk Za'bar Mohd Adib, yang mewakili Piala Monsun, menerima anugerah itu daripada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dianjurkan oleh Asia Pacific Brands Foundation (APBF), Anugerah Brand Laureate memberi pengiktirafan dan penghargaan terhadap peranan yang dimainkan oleh sesuatu acara atau ikon dalam mempromosikan dan memantapkan jenama Malaysia.

Ia juga memberi pengiktirafan terhadap acara yang dianjurkan dengan cemerlang dalam bidang dan disiplin masing-masing hingga berjaya meletakkan Malaysia di peta dunia atau ikon dalam bentuk mercu tanda, tanda perniagaan dan harta yang diiktiraf dengan mudah oleh dunia sebagai identiti Malaysia. Dalam penilaiannya, APBF mendapati Piala Monsun telah dianjurkan dengan jayanya sejak ia mula diperkenalkan pada 2005.

Ketika menerima anugerah itu, Za'bar berkata Piala Monsun 2009 akan ditonton lebih 600 juta isi rumah di kirakira 90 negara melalui siaran media.

Perlumbaan itu, yang merupakan pusingan ke-10 dan terakhir WMRT, akan berlangsung di Pulau Duyong, Kuala Terengganu dari 1 hingga 6 Disember. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain