suria

KOAM kenalpasti PLPT bagi olahraga di Jerman

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) mencadangkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) supaya menjadikan sebuah kelab sukan, MTG Club di Mannhein, Jerman sebagai Pusat Latihan Prestasi Tinggi (PLPT) bagi sukan olahraga.

Timbalan Presiden KOAM Karim Ibrahim berkata pusat tersebut yang dipilih daripada beberapa pusat sukan olahraga di negara tersebut juga akan menjadi pangkalan hadapan bagi atlet olahraga Malaysia yang berlatih dan bertanding di Eropah.

"Laporan penuh mengenai pusat tersebut telah saya serahkan kepada MSN pada Rabu. Terpulang kepada MSN untuk menilainya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Karim berada di Jerman dari 9 hingga 20 Mac lepas untuk meninjau beberapa pusat kecemerlangan olahraga di negara tersebut untuk dijadikan PLPT dan pangkalan hadapan bagi atlet olahraga Malaysia dalam persediaan ke Sukan Olimpik di London pada 2012.

Beliau berkata kelab MTG di Mannhein menyediakan segala infrastruktur dan pembangunan bagi atlet olahraga, dari peringkat junior hingga ke elit.

Kelab tersebut, katanya mempunyai kemudahan bagi aktiviti olahraga di luar dan dalam dewan dan mengkhusus kepada acara balapan seperti pecut dan lari berhalangan serta acara padang seperti lempar cakera dan lontar peluru.

"Terdapat 200,000 masyarakat Islam di bandar itu yang dapat menyediakan makanan halal bagi atlet Muslim Malaysia serta menjadi lokasi strategik di Eropah bagi memudahkan mobiliti atlet untuk bergerak dan bertanding di rantau tersebut," katanya.

Karim berkata sekiranya MSN bersetuju menjadikan Mannhein sebagai PLPT olahraga, KAOM sedia menguruskan memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak secepat mungkin agar atlet negara boleh berlatih di kelab tersebut selewatlewatnya Julai depan.

Berada di kelab tersebut merupakan landasan terbaik untuk atlet Malaysia melayakkan diri ke Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Berlin, Jerman dari 1523 Ogos depan, katanya.

Karim berkata jika MSN mempunyai rancangan lain, KOAM akan berusaha mencari penaja sendiri untuk menghantar atlet yang bukan di bawah program MSN, ke kelab di Jerman itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain