suria

Nik Aziz setuju pertandingan tomoi dikaji semula

KOTA BAHARU Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta pertandingan tomoi yang pernah diharamkan sementara ketika PAS memerintah Kelantan pada 1990, dikaji semula kerana berpendapat sukan itu "terlalu ganas" dan tidak sesuai dijadikan tontonan umum.

Nik Aziz berkata kerajaan negeri bersedia menerima sebarang maklum balas serta mengkaji semula cadangan terhadap sukan tersebut.

"Bagaimanapun saya mahu cadangan daripada manamana pihak secara hitam putih sebelum kajian semula itu dibuat," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Nik Aziz berkata demikian ketika ditanya mengenai rungutan sesetengah pihak yang mendakwa pertandingan tomoi tidak sesuai diadakan di negeri ini yang dikenali negeri "Serambi Mekah".

Beliau berkata pertandingan itu boleh diubahsuai supaya tidak menunjukkan suatu jenis sukan ganas yang boleh mencemaskan penonton.

Ketika Pertandingan Tomoi Antarabangsa merebut Piala Menteri Besar yang berakhir dua hari lalu Nik Aziz mengakui beliau sendiri tidak menyaksikan pertandingan akhir dan menyampaikan hadiah kerana sebab tertentu.

Beliau diganti oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dengan hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan; dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Abdul Fatah Mahmood. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain