suria

'Psiko Pencuri Hati' Bawa Kelainan Kepada Penonton

Psiko Pencuri Hati ditayangkan di pawagam bermula 5 September 2013.
Psiko Pencuri Hati ditayangkan di pawagam bermula 5 September 2013.
Psiko Pencuri Hati ditayangkan di pawagam bermula 5 September 2013.

FILEM: Psiko Pencuri Hati

PENGARAH: Nam Ron

PELAKON: Sein (Ruffedge), Sharifah Amani, Bront Palarae.

DURASI: 90 Minit

GENRE: Seram Psikologi

TERBITAN: FilmMecca

TARIKH TAYANGAN: 5 September 2013

KEBANYAKAN penerbit dan pengarah filem mengambil langkah selamat dengan menghasilkan genre filem berbentuk komedi atau pun aksi yang memaparkan latar belakang kehidupan seorang gengster, mat rempit dan kegiatan kongsi gelap.

Ia ternyata mendapat sambutan hangat daripada penonton yang memang gemarkan filem-filem yang berunsurkan ringan.

Bagaimanapun pengarah dan pelakon iaitu Nam Ron tampil berani menghasilkan sebuah karya berbeza daripada lambakan filem sedia ada menerusi Psiko Pencuri Hati.

Nam Ron menerusi karya itu turut mengekalkan identiti 'indie' dalam karyanya itu tambahan pula latar belakang kariernya lebih banyak terlibat dalam pengarahan teater dan filem pendek.

Pun begitu dia berjaya membentuk struktur filem tersebut dengan elemen-elemen lebih bersifat komersial untuk menarik penonton lebih besar.

Malah jika ada beranggapan karya pengarah 'indie' seperti Nam Ron adalah berat dan sukar difahami telahan itu salah kerana ia masih mempunyai suntikan komersial.

Begitu juga dari aspek teknikal, walaupun produksi diberikan bajet yang terhad daripada penerbit namun kualiti yang diberikan oleh pengarah mencapai standard.

Bagi yang pernah menonton hasil karyanya sebelum ini pasti dapat membandingkan filem berkenaan adalah sebuah karya berbeza daripada sebelumnya.

Malah mutu lakonan daripada barisan pelakon, sinematografi serta jalan ceritanya diolah dengan baik walaupun temanya boleh dikatakan agak klise dalam genre tersebut.

Tidak hanya fokus kepada tema, Nam Ron berjaya menyerlahkan kekuatan setiap plot dan sub plot dalam penceritaannya yang disifatkan sendiri olehnya yang mempunyai maksud tersendiri dalam perjalanan hidup pengarah itu.

Psiko Pencuri Hati dilakonkan oleh Bront Palarae, Sharifah Amani, Syed Hussein atau Sein, Amerul Affendi dan Sheira Aiyob.

Filem ini mengisahkan tentang obsesi seorang penulis, Sidi (Bront Palarae) dengan kes pembunuhan bersiri yang sedang dikajinya untuk novel terbarunya. Sidi sering ditemani sahabat karibnya, Man (Amerul Affendi) untuk membantunya menghasilkan karya terbaik.

Di samping dibelenggu misteri di sebalik siri pembunuhan 'pencuri hati' yang mengeluarkan hati mangsa-mangsa, Sidi turut mengalami Gangguan Kompulsif Keterlaluan sehingga dia menjadi buntu.

Sementara itu, Wani (Sharifah Amani) adalah seorang isteri yang mengalami masalah kemurungan selepas mengalami keguguran sebanyak tiga kali. Perkahwinannya bersama seorang doktor, Khai (Syed Hussein) juga bermasalah dan bagi memperbaiki keretakan rumah tangga mereka memilih untuk bercuti ke pulau.

Klimaks filem ini bermula apabila Sidi, Wani dan Khai bertemu di pulau yang mana mereka menginap di sebuah resort kepunyaan Pak Abu (Suhaimi Yusof) dan isteri (Shera Aiyob).

Pelbagai misteri terungkai semasa mereka bertemu di pulau berkenaan.

Dari segi persembahan para pelakon, Nam Ron cukup bertuah kerana barisan pemain filem berkenaan mempunyai kehebatan dan aura masing-masing dalam menghidupkan setiap watak.

Percubaan pengarah dengan tidak menyediakan sebarang skrip kepada pelakon dan membiarkan mereka bebas menyelami watak diberikan ternyata menjadi dan lebih 'hidup' selain berjaya memberi sentuhan emosi kepada penonton.

Paling mengejutkan, Sein yang sebelum ini hanya dilihat sebagai 'underdog' dalam dunia lakonan begitu mendalami peranannya dan penonton akan terkejut dengan perubahan watak dan emosinya sepanjang cerita itu berlangsung.

Secara kesimpulannya, Psiko Pencuri Hati bukan sahaja sebuah karya yang bagus daripada Nam Ron tetapi juga ia memberikan variasi kepada penonton yang sering dihidangkan dengan lambakan filem bertemakan komedi dan gengster.

Percubaan Nam Ron bukan sahaja berani melawan arus industri yang tidak menentu malah memberikan sebuah karya yang bermutu tinggi dan wajar diberi perhatian.

Artikel Berikut

'KL Zombi' Sebuah Naskhah Ringan

Artikel Lain