suria

'Battleship' Sekadar Hiburan Ringan

Barisan pelakon filem Battleship.
Barisan pelakon filem Battleship.
Barisan pelakon filem Battleship.

FILEM: Battleship

ARAHAN: Peter Berg

LAKONAN: Alexander Skarsgard, Brooklyn Decker, Griff Furst, Hamish Linklater, Jesse Plemons, Josh Pence, Liam Neeson, Rihanna

GENRE: Fiksyen/Aksi

DURASI: 1 jam 30 minit

TAYANGAN: 12 April 2012

PENGGUNAAN makhluk asing sebagai musuh dalam plot sesebuah filem mungkin boleh dikatakan sudah biasa kerana sering kali ditonjolkan dalam filem genre fiksyen dan aksi.

Filem terbaru arahan Peter Berg berjudul Battelship juga berpaksikan kepada elemen itu dan menjadikan makhluk asing daripada planet X sebagai tunjang utama penceritaan.

Sedikit sebanyak ia telah meninggalkan kesan kepada pemikiran penonton yang mungkin boleh mengagak apakah plot dan jalan cerita filem yang menggunakan subjek itu.

Bagaimanapun, Peter cukup bijak untuk menutupi kelemahan jalan cerita Battleship apabila menggunakan teknologi dan kesan grafik yang cukup mengagumkan untuk mengaburi para penonton.

Teknik penjanaan imej berkomputer (CGI) yang dilakukan juga sukar dipersoalkan.

Hampir 80 peratus filem berdurasi 90 minit itu penuh dengan aksi dan debaran yang membuatkan penonton terus lupa dengan jalan cerita klise dan terpaku menerusi lagak realistik yang dipaparkan.

Battleship pada dasarnya diinspirasikan daripada permainan video dari nama sama berkisar mengenai Alex Hooper lakonan Taylor Kitsch, seorang lelaki dungu yang dipaksa menyertai tentera laut oleh abangnya iaitu Stone Hooper (Alexander Skarsgard), seorang pegawai atasan tentera laut yang cukup berdisiplin dan tegas.

Bagaimanapun semuanya berubah apabila kapal milik mereka diserang oleh makhluk asing sehingga menyebabkan kematian Stone dan telah memaksa Alex untuk mengambil alih kepimpinan.

Dari situ pelbagai kejadian menarik dan mendebarkan telah berlaku sehingga mereka berjaya menumpaskan makhluk itu dan menyelamatkan dunia.

Semangat juang para tentera dan semangat setia kawan adalah nilai paling jelas dapat dilihat dalam Battleship walaupun berlainan bangsa dan agama yang turut menjadi kekuatan kepada filem ini.

Sementara itu, tumpuan filem ini turut diberikan kepada penyanyi popular iaitu Rihanna yang membuat kemunculan pertamanya sebagai pelakon.

Bagaimanapun, percubaan pertamanya sebagai Cora Raikes boleh disifatkan sebagai biasa sahaja namun pujian harus diberikan kerana watak yang didukungnya bukan mudah.

Mungkin paling menonjol adalah watak sampingannya seperti Jessie Plemons sebagai Ordy yang berjaya menambat hati penonton dengan lawak bersahaja di sebalik filem penuh dengan aksi ini.

Penampilan pelakon lain seperti Alexander Skarsgard, Brooklyn Decker, Griff Furst, Hamish Linklater, Josh Pence dan Liam Neeson tidak menghampakan dan masing-masing telah memberikan impak dari segi lakonan dalam membantu menutup cacat cela jalan ceritanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain