suria

Gabungan Aksi, Komedi Kehebatan 'The Great Magician'

The Great Magician menemui penonton bermula pada 12 Januari 2012.
The Great Magician menemui penonton bermula pada 12 Januari 2012.
The Great Magician menemui penonton bermula pada 12 Januari 2012.

Filem: The Great Magician (Mandarin)

Genre: Aksi/Komedi

Lakonan: Tony Leung, Zhou Xun, Lau Ching Wan

Pengarah: Derek Yee

Tarikh Tayangan: 12 Januari 2012

MELIHAT daripada poster filem dan genrenya, mungkin ramai menyangka ia adalah sebuah filem aksi yang sarat dengan babak-babak pertarungan antara dua pahlawan bagi menegakkan keadilan.

Tambahan pula ia dilatari dengan zaman semasa empayar China yang sarat dengan pelbagai konflik.

Tetapi pandangan itu adalah silap kerana The Great Magician adalah sebuah filem komedi yang lucu dan mampu mencuit hati penonton disebalik pelbagai aksi debaran yang dipaparkan.

Pengarahnya, Derek Yee bijak mengimbangi plot ceritanya yang menggunakan latar zaman 20-an mempunyai helah tersendiri bagi memberikan jalan cerita itu menarik terutamanya terhadap gandingan pelakon Tony Leung dan Lau Ching Wan sebagai daya penarik filem ini.

Karisma mereka sebagai pelakon berpengalaman berjaya ditonjolkan dengan baik oleh Derek sehingga membuatkan penonton menunggu dengan penuh sabar pengakhiran kedua-dua watak tersebut.

Keyakinan terhadap watak yang dipegang oleh Tony juga menjadi apabila dia perlu melakukan pelbagai aksi sebagai seorang ahli silap mata dengan bantuan teknik pengimejan berkomputer (CGI) yang kemas.

Filem ini mengisahkan mengenai kisah cinta tiga segi antara seorang ketua perang yang kejam, ahli silap mata dan gadis yang menjadi rebutan antara kedua-dua lelaki tersebut.

Lei lakonan Lau Ching Wan jatuh cinta terhadap Liu Yin (Zhou Xun) walaupun telah mempunyai enam orang isteri dan telah berusaha pelbagai perkara untuk wanita itu jatuh hati kepadanya.

Liu Yin bagaimanapun setia menunggu kekasih lamanya, Zhang Xian (Tony Leung) untuk kembali daripada Eropah namun penantiannya itu hampa yang akhirnya telah menyebabkan dia menjadi tahanan kepada Lei yang ingin memperisterikannya.

Sehingga suatu hari, Zhang Xian telah muncul kembali sebagai seorang ahli silap mata yang hebat dan mempunyai motif untuk memusnahkan Lei sekali gus mendapatkan kembali Liu Yin ke dalam tangannya.

Zhang Xian telah menggunakan kepakarannya dalam ilmu sihir dan silap mata untuk memusnahkan Lei demi mendapatkan kembali kekasih hatinya.

Sementara itu, tidak banyak yang boleh dikatakan mengenai pelakon Zhou Xun yang memegang watak sebagai Liu, kerana dia hampir tidak mempunyai apa-apa yang boleh dilakukan dalam filem ini.

Wataknya tidak berjaya memberi impak kepada penonton kerana paparan mengenai kesedihannya yang menunggu kekasihnya berlarutan sehingga ke akhir filem.

Kesan khas filem ini juga tidak mengecewakan dan boleh dikatakan tiada cacat cela selain aspek sinematografinya yang dihasilkan dengan kemas dan sempurna.

The Great Magician secara kesimpulannya adalah tidak rugi ditonton kerana ia mampu membuatkan penonton ketawa sepanjang masa dan ia juga bukan filem aksi seperti mana sering dipaparkan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Sherlock Holmes 2 Lebih Teruja

Artikel Lain