suria

‘Cun!’ Karya Menarik Osman Ali

Barisan pelakon dan karyawan filem Cun! pada malam gala filem itu, baru-baru ini.
Barisan pelakon dan karyawan filem Cun! pada malam gala filem itu, baru-baru ini.
Barisan pelakon dan karyawan filem Cun! pada malam gala filem itu, baru-baru ini.

LAMA sudah kita tidak disajikan sebuah filem ringan yang mampu membuatkan penonton tersenyum dan bercerita tentang babak-babak kegemaran masing-masing selepas habis tayangannya.

Bagaimanapun, kemunculan filem romantik komedi, Cun!, hasil air tangan pengarah Osman Ali, ternyata memberi sentuhan berbeza berbanding filem bergenre sama yang pernah dihasilkan pengarah-pengarah lain sebelum ini.

Mempunyai susunan cerita yang mudah difahami, pujian harus diberikan kepada Osman kerana filem ini mempunyai plot serta garapan yang teliti dan pastinya ia tidak akan mengecewakan penonton.

Elemen komedi yang diwujudkan juga tidak nampak terlalu mengikut skrip kerana dialog komedi yang dilakonkan lebih spontan dan bersahaja.

Mungkin kerana Cun! memiliki barisan pelakon yang cukup hebat, maka lakonan serta lawak spontan Maya Karin sebagai Luna yang bertemu cinta dengan jejaka kampung, Atan, lakonan Remy Ishak ternyata berhasil.

Malah Maya dan Remy mempunyai keserasian yang maksimum sehinggakan mereka berdua dilihat seperti benar-benar bercinta.

Cun! mengisahkan tentang seorang pengacara program gosip Meletups, Luna Latisya yang kecewa dengan kecurangan kekasihnya, Ryan (lakonan Jehan Miskin), dan membuat keputusan untuk mencari ketenangan di kampung pembantu peribadinya, Tom, di Kedah.

Di sana, Luna diberi peluang merasai keindahan dan ketenangan di Kampung Mata Ayer, serta memiliki kasih sayang di antara Tom, Tok Chah (Kartina Aziz), serta sepupu-sepupunya (Atan dan Manis).

Ini membuatkan hati Luna yang lara terubat seketika apabila melihat telatah keluarga Tom itu yang sentiasa dalam kegirangan.

Kemudian, timbul pula perasaan bibit-bibit cinta diantara Luna dan Atan membuatkan wanita itu terasa bahagia.

Bagaimanapun, Luna berjaya dikesan oleh penerbit programnya, Candy (lakonan Ning Baizura) dan berkomplot bersama Ryan, yang masih menyimpan harapan untuk memiliki cinta Luna semula untuk bertemu Luna.

Candy sengaja ingin mengambil kesempatan untuk menyiarkan pujuk rayu Ryan serta memaparkan wajah Atan yang dirasakan tidak layak mendapat cinta Luna untuk disiarkan kepada umum demi mengaut keuntungan.

Walaupun perjalanan kisah cinta antara Luna dan Atan seperti dapat dijangka, namun, Osman bijak memainkan adegan-adegan romantis itu yang seperti berjalan-jalan di tepi sawah bersama kerbau bernama Kembang kepunyaan

Manis, duduk berborak di jambatan parit serta menyelesaikan konflik antara Manis dan Atan menjadikan kisah cinta itu tampak lebih menarik.

Dalam pada itu, pelbagai suasana lucu dapat dilihat apabila kehadiran watak sampingan iaitu Bedah Tonggek (Mislina) dan Eton Gebu (Siti Nor Faridah) menyerikan filem ini.

Justeru, tidak salah rasanya jika mengatakan tanpa watak Bedah Tonggek dan Eton Gebu, perjalanan cerita filem ini menjadi kosong dan nampak biasa sahaja.

Selain itu, watak Manis lakonan Nadia Nissa turut memainkan peranan yang penting dalam perjalanan filem ini kerana Manis, seorang gadis lembam membuatkan orang di sekelilingnya seperti Tom, Tok Chah, Atan dan Luna bersatu dalam menangani sesebuah masalah.

Watak Tok Chah yang membawa nilai-nilai kekeluargaan pasti membuatkan penonton merasai betapa pentingnya kasih sayang di antara keluarga jika timbulnya sesebuah masalah.

Ini ternyata dapat dilihat apabila Tok Chah bersungguh-sungguh mahu menyelamatkan Atan yang sedang bergelut dengan Ryan di dalam tali air.

Tidak ketinggalan juga, lakonan Faezah ELai sebagai gadis tomboi, Tom, juga berjaya menghidupkan watak sebagai pembantu peribadi dan gadis kasar.

Di sebalik kegirangan yang ditonjolkan, jiwa Tom sebenarnya tidak tenteram apabila turut menaruh harapan pada Atan dalam diam.

Sementara itu, Osman bijak memilih lokasi suasana damai yang berlatarkan kehijauan sawah padi dan gunung-ganang sekali gus menyuntik elemen sinematograf yang mempesonakan sepanjang menonton filem ini.

Secara keseluruhannya, Osman Ali bukan sahaja berjaya membentuk sebuah kisah cinta yang menarik, bahkan, sutradara ini juga bijak mengimbangi paparan kehidupan masyarakat di kota dan kampung.

Tambah pula, pelakon-pelakonnya juga tidak kira watak utama mahupun sampingan, mereka berjaya menghidupkan karakter masing-masing.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain