suria

Ustazah Asma' Harun dakwa filem ‘La Luna’ perlekeh agama Islam, minta pihak berwajib tapis kandungan penstriman

Asma' dakwa La Luna mempunyai unsur liberalisme.

PENDAKWAH bebas Ustazah Asma' Harun kesal dengan penerbitan filem La Luna yang dilihat seolah-olah memperlekehkan agama Islam dan boleh mengundang persepsi buruk masyarakat.

Selain menyelitkan elemen 'soft porn', Asma' juga menegur beberapa watak dan babak yang diterjemahkan dalam filem ini yang dilihat bertentangan dengan nilai dan adab Islam.

"Buat semua penggiat seni tanah air, sama ada pengarah, penerbit, penulis skrip, pelakon dan lain-lain bebaslah berkarya dengan menjunjung tinggi nilai Islam dan kesopanan budaya tempatan.

size NP 1 (24)

Filem La Luna didakwa menghina status agamawan.

"Jangan sampai agama sendiri diperlekehkan. Jika benar ada seni yang ingin disampaikan, pastikan ia digambarkan dalam bentuk yang positif dan penuh adab.

"Bukannya menzahirkan sisi yang boleh mengundang prasangka buruk dan fahaman yang mengelirukan," katanya.

Asma' berkongsi pandangan peribadinya mengenai filem La Luna itu di laman Facebook pada pagi Rabu.

Antara perkara yang disentuh Asma' ialah mengenai watak Tok Hassan yang digambarkan berperwatakan alim namun memiliki sikap bertentangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Menggeletar dengar Janna Nick ‘bersumpah’ depan makam Rasulullah... Ustazah Asma’ kecewa sikap tak sensitif produksi ‘Surat Dari Tuhan’

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas ‘sound’ produksi Surat Dari Tuhan, Asma' Harun dedah DM Janna Nick... “Harap ramai lagi artis ikut cara dia”

Selain itu, watak Hani yang membuka kedai pakaian dalam wanita di sebuah kampung dilihat kurang sesuai dengan adab budaya orang Melayu.

Dalam pada itu, Asma' berpendapat pihak berwajib perlu memainkan peranan dengan meneliti sensitiviti sesuatu karya sebelum dibenarkan untuk tayangan umum.

Bukan sahaja di pawagam terbuka, malah badan yang diberi tanggungjawab juga perlu menapis sebarang kandungan yang akan disiarkan di platform penstriman.

size NP 1 (23)

Antara babak yang dirakamkan dalam filem La Luna.

"Dalam isu ini, peranan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) wajib diperkukuhkan dalam memastikan penghasilan filem atau drama mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

"Begitu juga peranan bahagian penapisan filem dan drama haruslah diperluaskan ke filem yang dimuat naik ke penstriman video dalam talian," ujarnya.

Filem La Luna adalah filem komedi diarahkan oleh pengarah, M Raihan Halim dan dibintangi barisan pelakon antaranya Shaheizy Sam, Sharifah Amani, Wan Hanafi Su, Hisyam Hamid, Nadiya Nisaa, Nam Ron dan ramai lagi.

Filem itu kini berada di carta 10 filem paling ditonton di platform Netflix.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain