suria

Wak Doyok dipanggil polis Johor isu guna cincin lambang peribadi Sultan Ibrahim

wak photo new

GARA-GARA membeli dan menggunakan cincin yang mempunyai lambang peribadi Sultan Johor, personaliti fesyen dan pelakon, Wak Doyok dipanggil memberi keterangan kepada polis.

Wak Doyok atau nama sebenarnya, Mohd Azwan Md Nor, 41, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di Johor Bahru kira-kira pukul 11 pagi Khamis.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Wak Doyok disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017.

ARTIKEL BERKAITAN: Wak Doyok ‘angkat bendera putih’, mohon maaf salah guna lambang peribadi Sultan Johor - “Saya sedar kesilapan, tidak arif batas protokol diraja”

ARTIKEL BERKAITAN: Tunku Idris minta Wak Doyok beri penjelasan gara-gara cincin lambang peribadi Sultan Johor

“Kes ini sebenarnya sudah lama, dia membeli cincin itu pada tahun 2012 secara dalam talian daripada sebuah syarikat di Indonesia.

Permohonan maaf Wak Doyok di Instagram.

“Satu laporan polis sudah dibuat Selasa lalu oleh kerajaan Johor. Kertas siasatan akan disiapkan sebelum ia diberi pada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan, ” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Pada Selasa malam, mStar melaporkan Wak Doyok membuat permohonan maaf menerusi Instagram kerana menempa cincin dengan lambang peribadi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Permohonan maaf itu dibuat selepas Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim menegur dan menuntut penjelasan secara terbuka kepada Wak Doyok di Instagram.

Pemeriksaan mStar dengan pengeluar cincin berkenaan iaitu Caroz Wooden yang beroperasi di Bali, Indonesia mendapati mereka menerima tempahan bagi cincin tersebut beberapa tahun lalu.

Syarikat itu aktif menerima tempatan daripada selebriti dan orang kenamaan dengan bayaran antara RM4,000 hingga RM9,000 mengikut jenis bahan yang digunakan.

Johor mula menguatkuasakan undang-undang terhadap Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017 sejak Julai tahun yang sama.

Enakmen itu memperuntukkan undang-undang ketat terhadap individu yang menyalahgunakan lambang, gelaran dan anugerah atau replika untuk tujuan perdagangan, pekerjaan atau persendirian.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun.

Artikel Lain