PELAKON Sophia Albarakbah tidak mengambil hati dengan dakwaan segelintir netizen yang menganggap suasana di antara dirinya dan penyanyi Bella Astillah ketika berada di atas pentas Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) kelihatan janggal dan dingin.
Menurut Sophia, 32, dia tidak melihat sebarang kejanggalan dalam situasi itu sebaliknya lebih fokus terhadap penghargaan yang diterimanya sebagai Selebriti Feminin Terhangat.
“Okay sahaja, sebab saya dalam industri yang sama.

Bella dan Sophia bersua muka di pentas Anugerah Melodi Terhangat.
“Bagi saya, saya masih dalam proses memahami kenapa saya yang menang… masih terkejut sebenarnya.
“Saya tak rasa kena sindir pun. Mungkin itu cara dia (Bella) sampaikan anugerah, dan saya bersyukur sangat dapat penghargaan ini,” katanya kepada mStar.
Sophia berkongsi perkara itu ketika ditemui dalam sidang media AMT 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada malam Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: Bella Astillah tak salam dan pandang Sophia Albarakbah, netizen kata suasana atas pentas nampak ‘awkward’... “Yang ini saya kenal sangat”
ARTIKEL BERKAITAN: Daiyan Trisha ungguli AMT 2025, Bella Astillah dan Syed Saddiq menang ‘Couple Goals Terhangat’
Dalam pada itu, Bella pula dilihat mengelak daripada ditemu bual media apabila tidak muncul di bilik sidang media selepas memenangi kategori Selebriti Couple Goals Terhangat bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.
Bella terus bergegas meninggalkan lokasi sebaik sahaja selesai acara, sekali gus menguatkan lagi spekulasi netizen mengenai ‘ketegangan’ yang kononnya tercetus antara kedua-dua selebriti tersebut.
Walaupun begitu, Sophia memilih untuk bersikap profesional dan tidak memanjangkan perkara yang boleh mengundang salah faham dalam kalangan peminat.
Terdahulu suasana pengumuman kategori Selebriti Feminin Terhangat seolah-olah kelihatan janggal apabila Bella dilihat terpaksa mengumumkan nama Sophia.

Bella dan Syed Saddiq ketika dikejar pengamal media.
Sebelum ini, nama Sophia meledak selepas Bella mendakwa pelakon itu menjadi orang ketiga dalam rumah tangganya dengan penyanyi Aliff Aziz sekitar Januari 2023.
Bella turut memuat naik tangkap layar memaparkan aktres itu memohon maaf dan ingin memperbetulkan keadaan berkaitan dakwaan mengganggu rumah tangga pasangan itu.
Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 2016 dan disahkan bercerai talak satu buat kali kedua pada 13 Jun 2024.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Ayden Adrian dan Ara Adreanna.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


