suria

Beli rumah di Dubai untuk pelaburan, Siti Nurhaliza mula intai pasaran kerjaya di Timur Tengah

Siti syukur berjaya capai impian miliki rumah di Dubai.

MENGANGGAP pembelian rumah di Dubai sebagai satu pelaburan, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam masa sama menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa kediaman tersebut bernilai puluhan juta ringgit.

Kata Siti atau Siti Nurhaliza Taruddin, 44, dia sudah lama memasang impian untuk memiliki aset di negara tersebut dan turut berkongsi pesan bahawa setiap angan-angan akan tercapai jika berusaha.

“Harganya tidak sebegitu seperti yang dikatakan. Saya belum mampu untuk memiliki kediaman dengan harga yang mahal sebegitu.

siti 2

Siti menyambut ulang tahun kelahiran ke-44 bersama kelab peminat, Sitizoners pada Sabtu.

“Semua orang ada impian dan itu (kediaman) merupakan antara impian saya. Saya anggap pembelian hartanah itu adalah sebagai satu pelaburan.

“Apa yang boleh saya katakan kalau kita pasang impian dan berusaha untuk mendapatkannya insya Allah akan berjaya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza beli rumah pertama di Dubai... Asyraf Khalid tumpang bangga, berseloroh tak perlu lagi sewa hotel

ARTIKEL BERKAITAN: “Baca berita pun suara merdu” - Peminat terkejut Siti Nurhaliza buat laporan cuaca RTM

Melihat potensi untuk kembangkan kerjaya nyanyian dan perniagaan di sana, Siti bagaimanapun tidak pernah meletakkan sasaran untuk meninggalkan Malaysia dan menetap di sana.

Tambah penyanyi lagu Anta Permana ini, pengalaman sering berkunjung ke negara orang telah membuka matanya untuk menerokai dan belajar sesuatu serta mencari peluang terbaik untuk berjaya.

Apa yang boleh saya katakan kalau kita pasang impian dan berusaha untuk mendapatkannya insya Allah akan berjaya

DATUK SERI SITI NURHALIZA

PENYANYI

“Apabila merantau di tempat orang, banyak benda baru yang kita lihat dan sedar betapa hebatnya negara-negara tersebut. Jadi saya mula pasang impian untuk kembangkan kerjaya dan perniagaan di sana.

“Saya melihat Dubai adalah negara Timur Tengah yang mempunyai pasaran sangat bagus. Berilah saya peluang untuk mencari peluang di sana. Saya suka dengan pembangunan negara tersebut, segala yang termaju dan terbaik ada di sana,” jelasnya.

siti 3

Siti berharap dapat kembangkan kerjaya di Dubai.

Pada hujung tahun lalu, Siti berkongsi pemandangan di sekitar kediaman yang terletak di The Adress, Dubai Mall itu.

Perkongsian tersebut mendapat pujian ramai pihak dan ia turut memberi inspirasi buat golongan seni tempatan untuk mencapai impian sama.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain