suria

Qasrina Karim cantik orangnya tapi kurang dapat perhatian - “Biar bakat diperkatakan bukan kontroversi”

Qasrina mahu dikenali dengan bakat lakonannya.

PELAKON Qasrina Karim mengakui enggan mencipta kontroversi semata-mata untuk mendapatkan publisiti menaikkan namanya dalam industri hiburan.

Qasrina atau nama sebenarnya Qasrina Abdul Karim, 27, berkata, dia mahu dikenali dengan bakat lakonannya dan bukan hanya mencipta nama dengan menjual kontroversi murahan.

"Bagi saya, saya mahukan bakat lakonan saya yang diperkatakan dan bukannya dikenali kerana kontroversi.

"Saya mahu semua orang nampak saya kerana saya boleh berlakon," katanya kepada mStar.

qas1 - 1

Qasrina tidak mahu cipta kontroversi untuk kejar populariti.

Sebelum ini, Qasrina pernah popular menerusi filem Kongsi Raya, bagaimanapun selepas itu namanya seperti tidak begitu menyerlah dibandingkan dengan rakan selebriti seangkatan dengannya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, aktres berkenaan memberitahu dia hanya berserah kepada takdir dan percaya setiap individu mempunyai rezeki masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN: Wajah mirip Mira Filzah, pelakon baharu Qasrina tak suka dibandingkan

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu kena body shaming, Bella Dowanna kesal bentuk badan jadi bahan jenaka... "Gurauan itu menyakitkan hati"

"Sekarang ini saya hanya berlakon dengan tawaran yang diterima. Saya rasa itu rezeki masing-masing.

"Pelakon lain yang namanya dapat naik dalam industri hiburan ini mungkin kerana tawaran yang mereka peroleh. Untuk saya, ini rezeki saya, saya tidak bandingkan kejayaan dengan rakan selebriti lain," ujarnya.

Sementara itu, Qasrina turut menafikan bahawa dia hanya mahu muncul di stesen televisyen (TV) tertentu sahaja.

Saya mahukan bakat lakonan saya yang diperkatakan dan bukannya dikenali kerana kontroversi.

QASRINA KARIM

PELAKON

Kata Qasrina, dia tidak terikat dengan hak ekslusif dengan mana-mana stesen TV dan terbuka mengambil peluang untuk berlakon dengan pelbagai produksi.

"Saya terbuka untuk berlakon dengan mana-mana stesen televisyen. Tapi buat masa sekarang, memang saya banyak terima tawaran daripada satu stesen TV sahaja.

"Saya tidak menolak sekiranya mendapat tawaran daripada stesen-stesen TV yang lain juga," katanya.

qas2 - 1

Bersama pelakon Legenda Puteri Qaseh, Chew Kin Wah dan Bella Dowanna.

Dalam perkembangan lain, Qasrina tampil dengan drama fantasi terbaharu Puteri Legenda Qaseh dan memegang peranan utama menerusi watak Qaseh.

Jelas Qasrina, meskipun drama berkenaan ditayangkan di saluran Astro Ceria, namun ia bukan hanya untuk kanak-kanak tetapi sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

"Untuk drama ini, mungkin ia nampak seperti untuk tontonan budak-budak tetapi sebenarnya saya rasa seisi keluarga boleh terhibur dengan drama bersiri ini," katanya.

Selain Qasrina, drama ini juga turut dibintangi pelakon terkenal termasuk Norman Hakim, Yusry Abdul Halim, Lisa Surihani, Aziz M. Osman, Daniel Fong, Chew Kin Wah, Bella Dowanna dan ramai lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain